PIPBJ Buka Peluang Lebih Ramai Rakyat Johor Miliki Rumah Sendiri
ISKANDAR PUTERI, 29 Julai – Kerajaan Negeri Johor terus komited memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri menerusi pelaksanaan Projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor (PIPBJ) di Gerbang Nusajaya yang bakal menyediakan 2,006 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, setiap rumah yang dibina bukan sekadar memenuhi sasaran pembangunan, malah membawa harapan baharu kepada keluarga Bangsa Johor untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera.

“Di sebalik setiap rumah yang sedang dibina, ada sebuah keluarga yang sedang menanti ruang untuk berteduh, membesarkan anak-anak dan membina masa hadapan yang lebih baik. Sebab itu, projek ini bukan sekadar perlu disiapkan mengikut jadual, tetapi mesti berkualiti, selamat dan menepati janji kepada rakyat,” katanya selepas meninjau kemajuan projek berkenaan di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, semalam.
Beliau berkata, projek tersebut menawarkan tiga pilihan kediaman mengikut keperluan dan kemampuan rakyat iaitu RMMJ Jenis C berkeluasan 1,000 kaki persegi pada harga RM150,000, RMMJ Jenis D1 seluas 1,100 kaki persegi pada harga RM250,000 serta RMMJ Jenis D2 berkeluasan 1,200 kaki persegi pada harga RM300,000.
“Setiap unit menyediakan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang sesuai untuk keperluan sebuah keluarga. Kita mahu lebih ramai Bangsa Johor menikmati kediaman yang berkualiti pada harga mampu milik,” katanya.
Menurut beliau, sehingga 15 Julai 2026, kemajuan pembinaan Fasa 1 dan 1A telah mencapai 96.34 peratus, Fasa 2 sebanyak 75.02 peratus manakala Fasa 3 dan 3A berada pada tahap 15 peratus.
“Saya mahu setiap fasa dipantau dengan dekat, setiap isu diselesaikan segera dan setiap kelewatan ditangani tanpa menunggu keadaan menjadi lebih serius. Dalam urusan rumah rakyat, tidak boleh ada sikap sambil lewa kerana setiap kelewatan memberi kesan kepada kehidupan sebuah keluarga,” tegasnya.

Tambah beliau, lawatan tersebut turut memberi perhatian kepada penyediaan infrastruktur termasuk sistem saliran, utiliti telekomunikasi, landskap, kawasan lapang dan laluan pejalan kaki bagi memastikan kawasan perumahan yang dibangunkan lengkap, selamat dan selesa didiami.
Beliau turut meminta pemaju, agensi teknikal dan semua pihak berkaitan terus memperkukuhkan kerjasama bagi memastikan baki kerja dapat dipercepatkan tanpa menjejaskan aspek kualiti pembinaan.
Dalam perkembangan sama, sehingga suku kedua tahun 2026, sebanyak 22,284 unit Rumah Mampu Milik Johor telah berjaya disiapkan dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) di seluruh negeri.
Mohd Jafni berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam memastikan agenda perumahan rakyat terus menjadi keutamaan agar lebih ramai Bangsa Johor dapat memiliki rumah sendiri. – UMNO Online
