Kita Gandakan Usaha, Satu Undi Sangat Bermakna – Mohd Razi

SUNGAI LUI, 29 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui Datuk Mohd Razi Mohd Ali menyeru seluruh jentera dan penyokong parti agar menggandakan usaha sepanjang baki tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Menurut beliau, setiap undi amat berharga dan mampu menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri yang stabil, progresif serta terus membela kebajikan rakyat Negeri Sembilan.

“Sekarang ini berbaki tiga hari sahaja lagi untuk kita bekerja memastikan kemenangan di sini. Saya harap kita tambahkan lagi usaha, temui seramai mungkin pengundi dan pujuk rakan-rakan serta ahli keluarga supaya keluar mengundi BN pada 1 Ogos nanti.

“Anak-anak yang berada di luar dan jauh juga perlu diajak pulang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi. Kita tidak mahu rugi walaupun satu undi kerana setiap undi sangat bermakna kepada kemenangan BN pada PRN kali ini,” kata penyandang kerusi DUN tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jom Lepak Anak Muda di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lui Timur, di sini Selasa malam.

Seterusnya, Mohd Razi turut menegaskan bahawa PRN Negeri Sembilan merupakan titik permulaan kepada penyatuan hati rakyat dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih kukuh, maju dan berupaya menjaga kebajikan seluruh lapisan masyarakat.

Tambahnya lagi, manifesto BN yang ditawarkan membuktikan komitmen parti untuk memenuhi keperluan rakyat secara menyeluruh, merangkumi pelbagai kelompok daripada bayi yang baru lahir, golongan muda, pelajar, orang dewasa sehingga warga emas.

“Manifesto yang kita bentangkan meliputi semua peringkat rakyat. Tidak ada golongan yang tercicir daripada perhatian kerajaan BN.

“Bagi warga emas pula, kita menawarkan penambahbaikan dengan menurunkan had umur penerima bantuan sekali beri daripada 70 tahun kepada 65 tahun sebagai tanda penghargaan dan sagu hati kepada warga emas di Negeri Sembilan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Mohd Razi sekali lagi mengajak seluruh jentera BN terus bekerja tanpa mengenal penat lelah pada saat-saat akhir kempen demi memastikan Barisan Nasional diberi mandat untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas PRN kali ini.

“Marilah kita sama-sama bekerja kuat dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan Barisan Nasional memperoleh kemenangan serta membentuk kerajaan yang mampu membawa kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO