Jangan Leka Di Saat Akhir, Jentera BN Diminta Kekalkan Momentum

TAMPIN, 29 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yakin momentum sokongan yang berjaya diterjemahkan menerusi gelombang biru di Johor ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini kini semakin dirasai di Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima sepanjang siri kempen ke beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika sebelum ini kita berjaya membawa gelombang biru di Johor, kini gelombang itu telah sampai ke Negeri Sembilan. Saya yakin Barisan Nasional berpotensi memperoleh kemenangan lebih dua pertiga.

“Saya sendiri telah turun ke beberapa lokasi, termasuk beberapa DUN… sambutan yang diterima hampir sama, kehadiran orang ramai amat menggalakkan.”

Malah beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh jentera BN sepanjang tempoh berkempen memberi gambaran positif terhadap kesiapsiagaan parti dalam menghadapi hari pengundian.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan semua jentera supaya tidak leka pada saat-saat akhir kempen, sebaliknya terus memperhebatkan usaha bagi memastikan bahang sokongan kekal sehingga hari pengundian.

“Apa yang saya lihat, semangat yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan yang bersama dengan kita nampaknya mereka bekerja bersungguh-sungguh walaupun kita masih memerlukan ramai pengundi yang perlu didekati.

“Kita hanya berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian pada Sabtu. Dalam tempoh dua atau tiga hari terakhir ini, kita tidak boleh leka.

“Pada hari terakhir kempen, fokus utama ialah usaha get out the voters (GOTV), iaitu memastikan seramai mungkin pengundi putih keluar mengundi. Itulah faktor yang mampu menentukan kemenangan kita.

“Latihan dan persiapan yang diberikan oleh UMNO/BN selama ini turut memainkan peranan penting. Daripada pengalaman itulah kita belajar dan memperkukuh gerak kerja sehingga berjaya mengembalikan sokongan rakyat kepada kita,” ujar beliau.

Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini, yang menyaksikan 103 calon layak bertanding.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN, manakala SPR menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO