‘Undi PH Bererti Kuatkan Dap’ – Ahmad Maslan
KUALA PILAH, 28 Julai – Pakatan Harapan (PH) dikuasai oleh Dap berdasarkan komposisi kerusi yang dimiliki parti itu dalam gabungan berkenaan di beberapa negeri dan Parlimen, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Johor berkata jumlah kerusi yang dimiliki Dap dalam PH menunjukkan parti itu mempunyai pengaruh paling besar berbanding PKR dan Amanah.
“Ada yang bertanya mengapa tidak perlu mengundi PH. Saya ingin menjelaskan bahawa PH dikuasai oleh Dap berdasarkan jumlah kerusi yang dimiliki parti itu dalam gabungan tersebut.
“Sebagai contoh, daripada lapan kerusi PH yang dimenangi di Johor, enam dimiliki Dap, manakala masing-masing satu oleh PKR dan Amanah. Di Negeri Sembilan pula, daripada 17 kerusi PH, 11 dimiliki Dap, lima PKR dan satu Amanah.
“Keadaan yang sama juga dapat dilihat di negeri lain. Di Selangor, Dap mempunyai 15 kerusi berbanding PKR (12) dan Amanah (lima). Di Pulau Pinang pula, Dap memiliki 19 kerusi, PKR tujuh dan Amanah satu.
“Di peringkat Persekutuan, PH mempunyai 40 kerusi Parlimen milik Dap, 23 kerusi PKR dan lapan kerusi Amanah. Sebab itu saya mengatakan bahawa mengundi PH bermaksud menguatkan Dap khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan,” katanya.
Ahmad berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan kempen di Pasar Malam Dangi. Turut hadir dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman
Sementara itu, Ahmad turut menyeru pengundi, khususnya masyarakat Cina, agar memberikan sokongan kepada MCA sebagai komponen BN pada PRN Negeri Sembilan.
Beliau malah berkata dakwaan bahawa BN mengamalkan politik perkauman adalah tidak berasas kerana gabungan itu dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC yang mewakili tiga kaum terbesar di negara ini.
“Saya berharap para pengundi mempertimbangkan untuk memilih MCA sebagai wakil masyarakat Cina dalam BN.
“Dakwaan bahawa BN bersifat perkauman tidak tepat kerana BN dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC yang mewakili tiga kaum terbesar di negara ini,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
