Undi Awal: Beri Kepercayaan Kepada BN – Tok Mat Hasan

SEREMBAN, 28 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru para pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan untuk memberikan kepercayaan kepada parti tersebut.

Ujarnya, BN telah terbukti dapat mengurus Negeri Sembilan dengan baik sebelum kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Kepada pasukan beruniform yang akan mengundi awal, saya menyeru supaya berikan kepercayaan kepada BN untuk membolehkan kami kembali memimpin Kerajaan Negeri Sembilan.

“Kami telah pun ternyata dapat mengurus Negeri Sembilan dengan baik sebelum kita kalah pada 2018. Jadi berikan kepercayaan semula kepada BN. Saya ingin melihat supaya Negeri Sembilan ini diurus dengan baik dan membangun lebih cepat serta hebat lagi untuk kita bersaing dengan negeri-negeri lain.

“Kita mengharapkan sokongan mereka kerana pasukan keselamatan juga merupakan teras kepada keamanan dan kesejahteraan negara. Jika tidak dapat sokongan daripada mereka, kita juga akan mengalami masalah kerana pengurusan pentadbiran negeri dan negara mesti bersama-sama dengan pasukan keselamatan supaya kita mempunyai kepercayaan sesama sendiri antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Program Santai Ngopi bersama calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Umaira Hasim di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tiroi.

Mengulas lanjut, beliau juga menyeru seluruh pengundi di DUN Labu untuk memberikan sokongan padu kepada calon BN, Maira Hasim.

“Saya bersama-sama dengan pengundi-pengundi dan penduduk di PDM Tiroi, di bawah DUN Labu. Alhamdulillah, dapat berjumpa ramai kawan lama. Walaupun banyak yang tak sihat, tapi datang juga kerana nak berjumpa dengan dengan saya.

“Saya rasa selesa di sini kerana Labu ini di bawah saya dulu. Saya pernah jadi Ketua UMNO Bahagian Rasah sebelum berpindah menjadi Ketua UMNO Bahagian Rembau. Jadi saya kenal dengan semua orang di sini.

“Saya harap supaya pengundi-pengundi di kawasan DUN Labu dapat memberikan sokongan kepada BN untuk kita ambil semula DUN Labu ni untuk di bawah BN. Insya-Allah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan persiapan akhir bagi memastikan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di 38 pusat mengundi esok, berjalan lancar.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata segala keperluan dan kelengkapan bagi proses pengundian awal telah disediakan, bagi memastikan urusan pengundian berjalan teratur seperti yang dirancang.

Sebanyak 22,339 anggota tentera dan polis serta pasangan yang layak akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada PRN Negeri Sembilan ke-16 esok.

Proses pengundian awal akan dibuka serentak pada 8 pagi, manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi dan jumlah pengundi.

Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN kali ini, yang menyaksikan 103 calon layak bertanding.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN, manakala SPR menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO