PRN NS: Sokongan Masyarakat India Mampu Jadi Faktor Kejayaan BN
KUALA PILAH, 28 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim optimis sokongan masyarakat India mampu menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini.
Beliau malah meluahkan keyakinan pendekatan memahami aspirasi masyarakat India memberi keyakinan kepada pengundi terhadap BN.
“Saya yakin dan percaya apabila mereka telah memberikan pengakuan dan janji, lazimnya mereka akan berpegang kepada perkara tersebut.
“Tambahan pula kita tidak kempen menuding jari, menuduh, memaki hamun, mengherdik atau menghina mana-mana parti. Kita hanya meminta supaya kawasan ini terus dikekalkan bersama BN,” katanya.
Azeez berkata demikian ketika program bersama masyarakat India di Pilah, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, S Leza Md Yasin.
Dalam pada itu, seperti kelaziman beliau turut bertutur dalam bahasa Tamil ketika berkempen sebagai usaha mendekati serta meraih keyakinan masyarakat India.
Katanya, pendekatan tersebut bertujuan menyampaikan mesej bahawa BN dan UMNO mempunyai rekod panjang dalam membantu rakyat tanpa mengira kaum.
“Saya hanya menyampaikan perkara yang benar, iaitu bagaimana BN dan UMNO sentiasa membantu seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. Itulah yang telah kami lakukan sepanjang hampir 80 tahun perjuangan.
“Insya-Allah, saya percaya masyarakat India akan terus memberikan sokongan kepada calon-calon BN.
“Kaedah yang sama saya lakukan di Johor sebelum ini. Di Perling, keempat-empat calon BN daripada kaum India berjaya memenangi kerusi masing-masing. Malah, kesemua mereka bertanding menggunakan nombor satu. Jadi, saya berharap kejayaan itu dapat diteruskan di Negeri Sembilan,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
