Pengundi Muda Mahukan Kestabilan, Kepimpinan Berwibawa… BN Pilihan Terbaik
JEMPOL, 28 Julai – Barisan Nasional (BN) diyakini mampu meraih sokongan pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdasarkan rekod pentadbiran yang terbukti serta tawaran kepimpinan yang stabil dan berwibawa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kemenangan besar BN dalam PRN Johor sebelum ini menjadi petunjuk jelas bahawa golongan muda lebih cenderung memilih kestabilan politik, rekod pentadbiran yang baik dan kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya ingin melihat pengundi muda, khususnya di Negeri Sembilan ini memihak kepada Barisan Nasional kerana Johor telah membuktikan bahawa mereka mahukan kestabilan, mahukan ‘track record’ yang baik serta kepimpinan yang berwibawa.
“Semua ini merupakan pakej yang ditawarkan oleh Barisan Nasional. Ia telah terbukti di Johor dan insya-Allah akan terbukti juga di Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut Exco Wanita UMNO Malaysia itu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sentiasa mengingatkan seluruh jentera parti supaya mengutamakan akar umbi, memperkukuhkan kerja berpasukan serta sentiasa memahami denyut nadi rakyat.
Katanya, pendekatan tersebut menjadi pegangan kepada semua calon BN yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan.
Rosnah berkata demikian kepada UMNO Online, selepas program ramah mesra HAWA Malaysia bersama ibu tunggal dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Jaya di sini sempena kempen PRN Negeri Sembilan.
Berhubung dengan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, Rosnah berkata penyandang kerusi tersebut merupakan pemimpin yang dikenali masyarakat setempat kerana komitmennya sentiasa turun padang dan menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
“Rata-rata pengundi yang kami temui mengenali beliau, bukan sekadar mengenali tetapi mengetahui beliau ialah pemimpin yang sentiasa bersama rakyat dan membantu menyelesaikan masalah mereka.
“Inilah ciri kepimpinan yang dituntut oleh rakyat dan Barisan Nasional mempunyai kekuatan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan keyakinan terhadap penerimaan positif rakyat terhadap BN selepas turun menziarahi pengundi bersama kepimpinan parti dan sayap Wanita.
“Saya berpeluang menziarahi ramai pengundi dan rata-rata mereka berfikiran positif serta memberikan reaksi yang baik terhadap tawaran-tawaran Barisan Nasional kepada rakyat Negeri Sembilan.
“Kita kekal positif dan mendoakan agar semua calon Barisan Nasional diberikan kejayaan dalam pilihan raya ini,” ujarnya.
Menyentuh mengenai manifesto parti-parti yang bertanding, Rosnah berkata rakyat kini mempunyai pengalaman menilai pentadbiran pelbagai kerajaan, sekali gus mampu membuat perbandingan berdasarkan prestasi sebenar.
“Negara ini telah melalui kepimpinan Barisan Nasional, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Apa yang kita tawarkan bukan sekadar janji baharu, tetapi komitmen yang berpaksikan khidmat kepada rakyat.
“Barisan Nasional ialah parti yang berakar umbi, sentiasa mengutamakan rakyat dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan. Itulah kekuatan yang menjadi pegangan kita, bukan sahaja dalam menghadapi pilihan raya negeri, malah sebagai persediaan menuju Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Katanya juga, pengalaman politik negara sejak 2018 turut memberi ruang kepada rakyat menilai sendiri prestasi setiap kerajaan yang memerintah.
“Sejarah membuktikan Barisan Nasional pernah mentadbir negara sekian lama. Selepas 2018, rakyat telah menyaksikan pelbagai bentuk kerajaan dan saya yakin maklum balas yang diterima menunjukkan ramai yang merindui kestabilan serta kemakmuran yang pernah dinikmati sebelum itu.
“Justeru, Barisan Nasional memperbaharui komitmen dan tekad untuk terus menjadi sebuah kerajaan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – UMNO ONLINE
