Najib Tinjau Isu Banjir Termenung Di Sungai Balang, Ambil Tindakan Segera
JOHOR BAHRU, 28 Julai – Komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu banjir dan sistem perparitan terus diperkukuhkan apabila Timbalan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Datuk Najib Samuri turun padang mengadakan lawatan kerja pertama beliau ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang bagi meninjau sendiri beberapa lokasi yang berdepan masalah air bertakung dan banjir termenung.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani berkata, lawatan tersebut dilaksanakan bersama ADUN Sungai Balang, Cikgu Selamat Takim serta pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Muar bagi mengenal pasti punca sebenar permasalahan yang menjejaskan kehidupan penduduk setempat.
Menurut Najib, hasil tinjauan mendapati keadaan parit yang tidak diselenggara dengan baik serta sistem perparitan yang kurang efisien menjadi antara faktor utama berlakunya air bertakung apabila aliran keluar tidak dapat berfungsi dengan lancar.
“Masalah ini perlu ditangani segera kerana ia memberi kesan kepada keselesaan dan keselamatan penduduk, terutama ketika hujan berterusan,” katanya.
Sebagai langkah penyelesaian segera, pihak JPS akan meningkatkan kapasiti mesin pam air daripada 20 cusec kepada 30 cusec buat sementara waktu bagi mempercepatkan proses pengaliran air sekali gus mengurangkan air bertakung di kawasan yang terjejas.
Beliau berkata, tindakan jangka pendek itu diharap dapat membantu mengurangkan impak banjir termenung sementara penyelesaian lebih menyeluruh dilaksanakan.
Najib turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan setiap tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap isu-isu berkaitan infrastruktur dan saliran agar penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan demi manfaat penduduk,” ujar beliau. – UMNO Online
