Manifesto BN Bawa Semangat Baharu Bina Semula Negeri Sembilan

KUALA PILAH, 28 Julai – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) yang menggariskan sembilan teras dilihat mampu membawa semangat baharu dalam usaha membina semula negeri itu ke arah lebih maju dan sejahtera.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata pendekatan tersebut menunjukkan komitmen untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang lebih cekap, telus dan berkesan demi kepentingan rakyat.

“Bagi saya, manifesto ini sangat baik kepimpinan BN negeri berjaya menghasilkan satu manifesto yang membawa semangat baharu untuk membina semula Negeri Sembilan ke arah yang lebih maju.

“Saya berharap sembilan teras ini dapat dilaksanakan dengan baik dan sekiranya BN diberi mandat untuk mentadbir negeri, sudah tentu pentadbiran yang dibentuk mestilah lebih efisien, cekap, telus dan yang paling penting memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Katanya lagi, dokumen berkenaan bukan sekadar janji kepada rakyat, sebaliknya menjadi asas perjuangan dalam merangka hala tuju serta menggerakkan pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu Bibi Sharliza berpandangan penubuhan unit pemantauan pelaksanaan manifesto juga memperlihatkan komitmen dalam memastikan setiap perkara yang digariskan dapat dilaksanakan dengan baik oleh barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pentadbiran kerajaan.

“Manifesto ini bukan sekadar janji, tetapi merupakan asas perjuangan kita dalam menggerakkan kerajaan. Jika dilihat, ia bukan manifesto yang meletakkan angka tertentu seperti jumlah bantuan atau peruntukan, sebaliknya satu perancangan yang jelas untuk pentadbiran negeri.

“Saya berharap semua pihak dapat melihat dan mengikuti apa yang telah dirancang oleh BN Negeri Sembilan. Ini membuktikan komitmen pemimpin BN dalam memastikan perkara yang dirancang dapat dilaksanakan.

“Golongan wanita juga diberikan perhatian dalam teras manifesto ini dan saya berharap wanita akan turut mendapat manfaat daripada apa yang telah digariskan,” ujar beliau.

Terdahulu BN Negeri Sembilan mengumumkan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama sebagai manifestonya sempena Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Manifesto tersebut ditambah dengan 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelerasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO