Dr Asyraf Serah LOD Gantirugi RM5 Juta Kepada Dua Pemfitnah

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui peguamnya Datuk Adnan Seman telah menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) saman gantirugi RM5 juta kepada dua pemfitnahnya berhubung isu Tabung Haji.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu berkata, LOD tersebut diserahkan kepada pemilik akaun Abied Abdullah iaitu Habin Faisal bin Mohamed dan Dato’ Dr Ismail bin Salleh yang mengaibkan dan memfitnahnya berkenaan isu tersebut di Facebook.

“Ini soal maruah dan prinsip saya yang tercalar dan bukan soal wang yang dituntut. Insya-Allah setiap sen yang saya perolehi keputusan mahkamah kelak, akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran MARA untuk membantu anak-anak pelajar yang miskin dan susah.

“Moga Allah permudahkan segala usaha untuk melawan fitnah dan menuntut ganti-rugi ini,” katanya.

Dalam LOD Dr Asyraf yang diwakili firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates, bertarikh 27 Julai 2026 itu menyatakan empat tuntutan.

i. Dalam masa lima hari dari tarikh surat ini, kamu mengeluarkan kenyataan menarik balik kesemua pernyataan-pernyataan fitnah tersebut yang ditujukan kepada Anakguam kami.

ii. Dalam masa lima hari dari tarikh surat ini, kamu mengeluarkan permohonan maaf secara bertulis dan video di media sosial kamu khususnya mukabuku kamu “Abied Abdullah” yang perlu dikekalkan selama setahun.

iii. Dalam masa lima hari dari tarikh surat ini, kamu mengeluarkan dan menerbitkan satu akujanji kepada Anakguam kami bahawa kamu tidak akan membuat pernyataan-pernyataan fitnah lagi kepada Anakguam kami.

iv. Dalam masa lima hari dari tarikh surat ini kamu membayar kepada Anakguam kami gantirugi sebanyak RM5,000,000.00 di atas pernyataan-pernyataan fitnah tersebut.

Jelas LOD itu lagi, jika pihak dituntut gagal dan enggan untuk berbuat sedemikian, maka Dr Asyraf yang mewakilkan firma guaman tersebut akan memfailkan tindakan saman sivil di mahkamah. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO