‘DNA Pak Lah’, ‘Rumah Bangsa’ Teras Kebangkitan UMNO Kepala Batas

KEPALA BATAS, 28 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Bahagian Kepala Batas menghidupkan kembali semangat “DNA Pak Lah” sebagai asas memperkukuhkan semula parti dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas Tahun 2026, beliau berkata, bumi Kepala Batas mempunyai legasi kepimpinan yang cukup besar dan perlu diteruskan melalui pendekatan politik yang sederhana, inklusif serta berpaksikan khidmat kepada rakyat.

“Sudah tiba masanya kita menghidupkan kembali ‘DNA Pak Lah’ di bumi Kepala Batas. DNA ini bukan sekadar mengenang legasi seorang tokoh, tetapi menghayati nilai kepimpinan yang sederhana, menyatukan, mendahulukan rakyat serta sentiasa membuka ruang kepada perpaduan dan muafakat.”

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, semangat itu perlu diterjemahkan melalui gagasan Rumah Bangsa, yang disifatkan sebagai wadah penyatuan seluruh kekuatan parti tanpa mengira latar belakang dan perbezaan.

“‘Rumah Bangsa’ mesti menjadi titik pertemuan kita. Sebuah rumah yang menghimpunkan semua, mengutamakan keterbukaan politik, memperkukuhkan perpaduan dan menjadikan khidmat kepada rakyat sebagai keutamaan. Apabila rumah ini kukuh, insya-Allah UMNO akan kembali diyakini.”

Menurut Reezal, seluruh ahli perlu meninggalkan perselisihan yang lalu dan bergerak sebagai satu pasukan bagi menghadapi cabaran politik yang semakin mencabar.

“Kita mesti menutup buku lama, menyembuhkan luka dalaman dan merapatkan saf perjuangan. Tiga sayap parti perlu diperkasakan kerana kekuatan UMNO bukan terletak pada individu, tetapi pada kesatuan hati seluruh ahlinya.”

Beliau turut mengingatkan bahawa agenda perjuangan parti selepas ini perlu lebih tersusun dengan memperhebatkan gerak kerja turun padang, mendekati pengundi muda khususnya Undi 18 dan Generasi Z, memperkukuhkan penerangan berasaskan fakta serta memastikan setiap cawangan berada dalam keadaan bersedia menghadapi pilihan raya.

“Jika kita benar-benar mahu merampas semula Parlimen Kepala Batas, kita tidak boleh hanya bernostalgia. Kita mesti bekerja lebih keras, turun bertemu rakyat tanpa henti, memahami denyut nadi generasi muda dan membina semula keyakinan mereka terhadap UMNO.”

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang kerjasama politik hendaklah berpaksikan maruah parti serta tidak mengorbankan prinsip perjuangan, sambil menolak budaya perpecahan yang hanya melemahkan organisasi.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Roslan Saidin; Naib Ketua, Nordin Wahab; Ketua Wanita Bahagian, Zainab Bakar; Ketua Pemuda Bahagian, Helmi Juhari; Ketua Puteri Bahagian, Farah Izzati Abdul Rahman serta kepimpinan tempatan.

Reezal juga mengajak seluruh warga UMNO Kepala Batas menjadikan semangat “DNA Pak Lah” dan gagasan “Rumah Bangsa” sebagai obor perjuangan dalam mengembalikan kekuatan parti serta merampas semula kerusi Parlimen Kepala Batas.

“Marilah kita bekerja sebulat suara dan seikhlas hati. Jadikan semangat ‘DNA Pak Lah’ dan gagasan ‘Rumah Bangsa’ sebagai obor yang menyalakan semula kebangkitan UMNO di bumi Kepala Batas,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO