BN Harap Momentum Peratusan Tinggi Undi Awal Berterusan Sabtu Ini

SEREMBAN, 28 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap momentum kadar keluar mengundi awal yang melebihi 88 peratus hari ini dapat diteruskan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Sabtu ini.

Beliau berkata peratusan tinggi itu mencerminkan amalan demokrasi yang baik, dan berharap lebih ramai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada para pengundi awal kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memaklumkan bahawa kadar keluar mengundi sangat tinggi, melebihi 88 peratus.

“Jika ini dapat diteruskan pada hari pengundian Sabtu ini, ia merupakan satu trend yang sangat baik. Mudah-mudahan demokrasi dapat diterjemahkan di Negeri Sembilan ini dengan sebaik-baiknya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Zon Tengah di sini.

Terdahulu, SPR mengumumkan kadar peratusan keluar mengundi awal yang direkodkan setakat 3 petang ialah 88.97 peratus.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun pula berkata pihaknya menyasarkan kadar keluar mengundi Sabtu ini mencapai antara 72 dan 75 peratus.

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan melibatkan secara keseluruhan seramai 22,339 pemilih dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 tentera dan pasangan serta 5,174 polis dan pasangan manakala selebihnya mengundi secara pos.

Sebanyak 867,151 pemilih biasa layak mengundi pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang menyifatkan BN sebagai ‘underdog’ pada PRN kali ini, meminta seluruh jentera agar terus menyantuni pengundi dalam tempoh kempen yang berbaki tiga hari. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO