UMNO Perlu Kukuh Dari Dalam, Bukan Bergantung Kelemahan Lawan – Ab Hamid
KUANTAN, 27 Julai – UMNO perlu terus membina kekuatan dari dalam parti dan tidak hanya bergantung kepada kelemahan parti lawan atau menumpang kekuatan parti yang mesra Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar berkata, usaha merapatkan saf kepimpinan serta mengurangkan segala permasalahan dalaman perlu menjadi keutamaan kerana perpaduan parti merupakan asas kepada kekuatan UMNO.
Menurut beliau, rakyat pada hari ini mahukan sebuah parti yang benar-benar mampu membela nasib mereka serta memimpin masa depan negara, bukannya sekadar tampil dengan retorik politik yang tidak membawa manfaat kepada masyarakat.
“UMNO perlu membina kekuatan sendiri. Jangan hanya mengharapkan kelemahan parti lawan ataupun menumpang kekuatan parti yang mesra BN. Sebaliknya, kita mesti memperkukuhkan parti dari dalam dengan semangat muafakat dan kesatuan yang utuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penguasaan media sosial perlu diperkasakan agar segala usaha, dasar dan perjuangan parti dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada rakyat, khususnya golongan muda yang menjadi kelompok penting dalam landskap politik masa kini.
Ab Hamid berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Turut hadir barisan kepimpinan serta para perwakilan UMNO Bahagian Kuantan yang bersama-sama menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuhkan parti sebagai wadah perjuangan rakyat menjelang pilihan raya akan datang. – UMNO Online
