TVET Perkasa Anak Johor, Pelaburan Mesti Bawa Manfaat Terus Kepada Rakyat

KULAI, 27 Julai – Kemajuan ekonomi dan kemasukan pelaburan ke Johor hanya akan memberi makna apabila manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, khususnya melalui peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan taraf hidup.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pembangunan tidak seharusnya hanya diukur melalui pembinaan infrastruktur atau kemasukan pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival TVET dan Kerjaya Perbandaran Kulai 2026 di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, hari ini.

“Apabila ekonomi berkembang, hasilnya mesti kembali kepada rakyat. Apabila pelaburan bertambah, peluang pekerjaan mesti bertambah. Apabila peluang terbuka, anak muda mesti dipersiapkan dengan kemahiran,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Johor turut memastikan hasil kemakmuran negeri disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan.

Antaranya, Bantuan Kasih Johor yang memberi manfaat kepada jutaan penerima, selain Program Semarak Subuh Johor, Infaq Jumaat Johor dan Jualan Kasih Johor yang bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan anak muda perlu merebut peluang yang diwujudkan hasil pertumbuhan ekonomi negeri dengan melengkapkan diri melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan strategik untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri moden serta menjamin masa depan lebih baik kepada keluarga.

“Pelaburan RM110 bilion tidak bermakna jika anak Johor sekadar menjadi penonton. Kita mahu anak Johor menjadi juruteknik, jurutera, penyelia, pengurus dan usahawan dalam ekosistem tersebut,” katanya.

Beliau turut menyeru majikan dan institusi TVET agar terus bekerjasama membuka lebih banyak ruang latihan industri, program perantisan dan peluang pekerjaan kepada anak tempatan supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Johor.

Karnival TVET dan Kerjaya Perbandaran Kulai 2026 yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan pembangunan modal insan termasuk pameran interaktif, sesi pengambilan pelajar dan temu duga terbuka.

Begitu juga disajikan pertandingan robotik, tawaran kursus jangka pendek, taklimat keusahawanan serta penyertaan pelbagai agensi, institusi TVET dan pemain industri dalam membuka lebih banyak peluang pendidikan serta pekerjaan kepada rakyat, khususnya golongan belia. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO