Sokongan Anak Muda Terhadap Persefahaman BN-PN Amat Baik
REMBAU, 27 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan anak muda memberikan sokongan yang amat baik terhadap persefahaman Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ujarnya, beliau berharap agar sokongan tersebut bakal diterjemahkan di atas kertas undi pada 1 Ogos nanti.

“Kalau (persefahaman) tak baik, saya dan Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamuddeen tak duduk bersama dalam bendang ini. Ini dah duduk dalam bendang, maksudnya perhubungan sangat baik. Alhamdulillah.
“Pada pandangan saya, sokongan anak muda terhadap persefahaman ini sangat baik. Kita rasakan bahawa inilah kali pertama kita tengok selepas Johor, sokongan rakyat pada hari ini seakan-akan ada gelombang yang sangat kuat di kalangan orang muda terutamanya.
“Apabila mereka dapat tahu persefahaman di antara PN dan juga BN, sokongan itu bertambah lagi kuat. Semoga sokongan itu akan diterjemahkan pada 1 Ogos nanti. Kita move ke depan, bukan ke belakang insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Program Ngoca Sawah sempena PRN Negeri Sembilan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Semerbok, di sini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata Program Ngoca Sawah tersebut mengeratkan lagi hubungan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah hari ini kita buat program yang paling santai tapi dekat di hati rakyat. Kita tak buat ceramah politik dan mengutuk sana-sini. Hari ini saya dan YB (Yang Berhormat) Afnan, ‘bersatu’ di bendang.
“Program ni sangat baik, mengeratkan perhubungan masyarakat setempat. Orang kampung pun semakin rapat dan tahu mesej jelas yang kita nak hantar kepada orang kampung bahawa UMNO dan Pas sebenarnya tiada apa-apa masalah.
“Walaupun sebelum ini… betul kita ada permasalahan dan sebagainya.Tetapi demi agama, bangsa dan negara, tiada masalah pun untuk kita bersama, insya-Allah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa gelombang biru yang sedang merebak ke Negeri Johor akan sampai di Melaka dan seterusnya ke Putrajaya.
“Insya-Allah saya percaya gelombang biru tidak akan berhenti setakat di Negeri Sembilan sahaja ataupun Melaka. Insya-Allah gelombang ini akan sampai ke Putrajaya dalam masa terdekat ini, insya-Allah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa setiap parti mempunyai hak untuk menjalinkan persefahaman dengan mana-mana parti.
“Apa yang tidak hormatnya (akan Kerajaan Perpaduan)? Sedangkan kalau di Sabah, Warisan berada dalam Kerajaan Perpaduan tetapi Warisan juga melawan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
“Jadi mempunyai hak untuk bersefahaman dengan mana-mana parti di PRN. PH kalau nak bekerjasama, itu juga hak mereka. Sama juga di Sabah, UMNO/BN buat keputusan tidak mahu bersama dengan GRS, tapi PH pula bersama mereka. Jadi, janganlah salahkan kami. Kamu buat boleh, takkan kami buat tak boleh pula,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamuddeen menyeru semua pihak untuk mengetepikan sebarang perbezaan dan persengketaan supaya kekal bersatu padu demi membina kekuatan.
“Program ini menunjukkan Pas dengan UMNO sebenarnya walaupun berbeza warna, tapi duduk bersama. Tadi Datuk Akmal sebut kita duduk dalam bendang, saya nak tambah lagi sebab kita makan beras daripada padi yang sama.
“Jadi, sawah padi dan beras yang kita makan itulah menyatukan kita insya-Allah sampai bila-bila. Inilah wajah politik anak muda baharu yang kita nak pamerkan kepada rakyat Malaysia. Kita letak ke tepi politik lama-lama itu. Kita pakai politik baharu ini… politik yang boleh menyatupadukan, membina kekuatan bersama insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
