‘Selayang Bangkit, BN Selayang Mesti Menang Pada PRU-16’
SELAYANG, 27 Julai – UMNO Bahagian Selayang perlu tampil sebagai sebuah organisasi yang lebih bersatu, tersusun dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 dengan menjadikan semangat kebangkitan Barisan Nasional (BN) sebagai pemangkin kemenangan di Selangor.
Ketuanya, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang Tahun 2026 menjadi platform penting untuk menyatukan tekad perjuangan seluruh ahli selepas 105 cawangan serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berjaya melaksanakan persidangan masing-masing mengikut peruntukan Perlembagaan parti.

Menurut beliau, persidangan kali ini mempunyai nilai yang cukup signifikan kerana berkemungkinan menjadi perhimpunan terakhir sebelum negara memasuki medan PRU-16, sekali gus menuntut seluruh kepimpinan dan akar umbi memperkukuhkan saf perjuangan serta menyusun strategi terbaik demi memastikan kemenangan BN.
“UMNO Bahagian Selayang wajib mempasakkan satu tekad secara kolektif iaitu ‘Selayang Bangkit – BN Selayang Mesti Menang’. Perkampungan ini mesti menjadi titik penyatuan untuk memperkukuhkan falsafah perjuangan, memantapkan gerak kerja dan mengatur strategi menuju pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerja UMNO Malaysia merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan, Ahad petang.
Hasnal berkata, kemenangan bergaya BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajar dijadikan contoh terbaik dalam usaha mengembalikan kekuatan parti kerana kejayaan tersebut lahir daripada kepimpinan yang mantap, kesatuan jentera, strategi yang tersusun serta semangat bekerja sebagai satu pasukan.
“Kita di Selangor, khususnya di Selayang, adalah sebahagian daripada episod kebangkitan semula UMNO. Menggagalkan misi ini atas apa juga alasan merupakan pengkhianatan terhadap usaha mengembalikan kekuatan parti,” tegas beliau.
Beliau turut menyeru seluruh ahli menghayati gagasan Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agung yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai asas memperkukuhkan kedudukan parti sebagai wadah utama perjuangan bangsa dan negara.
Dalam masa sama, sempena ulang tahun ke-80 UMNO, beliau mengajak seluruh warga parti menjadikan sambutan tersebut bukan sekadar meraikan sejarah perjuangan, sebaliknya melakukan muhasabah serta memperteguhkan nilai, prinsip dan roh perjuangan yang menjadi tunjang kekuatan UMNO sejak penubuhannya.
Hasnal turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri, 105 cawangan serta jawatankuasa pelaksana yang berjaya menyempurnakan persidangan tahun ini dengan penuh semangat dan komitmen.
Beliau juga mengajak seluruh warga UMNO Selayang terus bersatu di bawah payung perjuangan parti bagi memastikan BN kembali diberi mandat oleh rakyat.
“UMNO itu payung yang menudung, pohon rendang yang menaung, rumah agam yang membumbung. Tiada istilah menyerah atau mengalah. Membujur lalu, melintang patah. Ayuh kita gegak-gempitakan semangat perjuangan dan pastikan BN Selayang kembali menang pada PRU-16.” – UMNO Online
