PRN: Sokongan Rakyat Kian Terarah Kepada BN – Suhaimi

REMBAU, 27 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Suhaimi Aini menegaskan bahawa sokongan rakyat kini terarah kepada BN sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ketika ditemui sejurus selepas Program Ngoca Sawah sempena PRN Negeri Sembilan di pusat daerah mengundi (PDM) Semerbok semalam, beliau berkata, anak-anak muda juga tidak ketinggalan memberikan sokongan yang padu kepada BN.

“Alhamdulillah, kita bersama-sama dengan masyarakat Kampung Semerbok di DUN Kota. Program ini adalah program tahunan kami di DUN Kota sepanjang dua tahun lapan bulan saya menjadi wakil rakyat.

“Saya bersama-sama dengan masyarakat di DUN Kota… kami jadikan program ini sebagai acara tahunan kami. Alhamdulillah, hari ini seluruh negara hadir ke sini untuk sama-sama memberikan sokongan kepada kempen di N28 Kota ini supaya calon BN mempertahankan kerusi ini, Insya-Allah.

“Sepanjang tempoh kempen ini, alhamdulillah, nampak sokongan semakin baik. Kita dah masuk ke minggu yang kedua. Kita dapat melihat sokongan yang semakin baik daripada pengundi-pengundi di DUN Kota ini, alhamdulillah.

“Seperti yang kita tengok hari ini, begitu ramai anak-anak muda turun bersama dengan para pemimpin, hadir bersama-sama. Kita juga dapat tengok anak-anak muda turun memberi dan menunjukkan sokongan mereka kepada BN,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh rakyat di DUN Kota untuk turun beramai-ramai dan memberikan sokongan kepada calon BN pada hari pengundian kelak.

“Kepada para jentera, saya mengharapkan kita teruskan momentum yang baik ini sehingga ke hari terakhir tempoh berkempen kita.

“Kepada pengundi-pengundi di DUN Kota ini, saya berharap, saya merayu kepada semua untuk turun ramai-ramai pada 1 Ogos nanti, kita undi calon BN, iaitu Suhaimi Aini di N28 Kota,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.  – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO