PRN N. Sembilan: Tiga Pertimbangan Utama Demi Masa Depan Negeri
SEREMBAN, 27 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan amat penting kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), bukan sahaja untuk memastikan kemenangan calon parti, malah bagi membolehkan BN kembali membentuk kerajaan negeri.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata rakyat perlu membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian pada 1 Ogos nanti dengan memberi perhatian kepada tiga perkara utama yang akan menentukan hala tuju negeri pada masa hadapan.

“Kestabilan, supaya Negeri Sembilan mempunyai kerajaan yang lebih stabil. Pertumbuhan ekonomi, agar negeri ini memanfaatkan kedudukannya yang strategik bersebelahan Kuala Lumpur dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
“Penyatuan Melayu, kerana perpecahan hanya melemahkan kekuatan, manakala perpaduan mampu membawa kemenangan yang lebih besar seperti yang telah dibuktikan di Johor,” katanya.

Seterusnya, Mohamed Khaled menegaskan bahawa pilihan yang dibuat oleh rakyat pada hari penentuan itu bukan sekadar menentukan wakil rakyat, sebaliknya turut menentukan masa depan Negeri Sembilan.
Dalam status sama di laman sosialnya itu, Mohamed Khaled turut berkongsi aktivitinya yang turun berkempen untuk calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu Maira Hasim di Kampung Batu 9, Labu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos, manakala pengundian awal diadakan pada 28 Julai. – UMNO ONLINE
