Persefahaman BN-PN: Ahmad Zahid Tegaskan Tiada Sebarang Pergaduhan

SEREMBAN, 27 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang pergaduhan yang berlaku seperti didakwa sehingga menyebabkan persefahaman bersama Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak dapat dilaksanakan.

Ujarnya, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang disanggah itu bukanlah tanda pergaduhan, tetapi sebagai menyuarakan pendapat.

“Saya nak menyentuh sikit mengenai komen daripada Presiden Amanah dan juga PPBM yang mengatakan persefahaman di antara BN dan PN tidak dapat direalisasikan kerana kononnya kami telah bergaduh.

“Kami ingin menyatakan bahawa tidak ada sebarang pergaduhan. Perbezaan pendapat pun tidak, tapi bergerak seiring atas nama kesefahaman.

“Kenyataan yang dibuat oleh seorang Menteri Besar yang saya telah sanggah kerana ia tidak sesuai untuk disebutkan di sini (Negeri Sembilan). Itu bukannya satu pergaduhan, tetapi hanya pandangan kita.

“Mungkin geopolitik di sesebuah negeri itu berbeza dengan sebuah negeri yang lain. Mungkin apa yang dikeluarkan itu sesuai untuk negerinya, tapi tidak sesuai di Negeri Sembilan. Tapi ini bukan satu pergaduhan, tetapi sesuatu yang pada hemat saya tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Program Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kempen BN sepanjang PRN Melaka langsung tidak menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R).

“Begitu juga teguran oleh pihak Istana Negeri Sembilan yang menyatakan jangan campur dan sentuh soal 3R. Alhamdulillah, kempen-kempen yang kita jalankan juga tidak menyentuh perkara itu.

“Mungkin ada pihak lain yang menyentuh. Sebab kami berpegang bahawa institusi raja-raja mesti dipertahankan. Dalam konteks Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat juga harus dipertahankan. Kami tidak pernah menyentuh, sebaliknya kami menghormati institusi berkenaan.

“Untuk itu saya ingin ingatkan kepada mana-mana pihak yang menyentuh mengenai perkara itu, tak perlu sentuhlah. Ini adalah merupakan satu kenyataan yang baik oleh pihak istana,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO