Kesatuan, Keikhlasan Dan Kesetiaan Teras Kekuatan UMNO – Mohamad Alamin

KALABAKAN, 27 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin menegaskan bahawa perjuangan UMNO terus diperkukuhkan dengan semangat kesatuan, keikhlasan dan kesetiaan agar parti kekal menjadi wadah yang diyakini rakyat dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Mohamad yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, amanah yang diterimanya merupakan satu tanggungjawab besar untuk terus meniupkan semangat perjuangan, memperkukuh kesatuan parti serta mengangkat suara rakyat dalam mendepani pelbagai cabaran semasa.

“Alhamdulillah… amanah ini saya terima dengan penuh rasa syukur sebagai satu tanggungjawab untuk terus meniupkan semangat perjuangan, memperkukuh kesatuan dan mengangkat suara rakyat.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Kalabakan dan seluruh perwakilan yang hadir dengan semangat serta iltizam yang tidak pernah luntur untuk terus memperkukuh perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kalabakan Tahun 2026 yang berlangsung di Inderaloka Grand Ballroom, Tawau, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis menjelaskan, bahawa perjuangan UMNO bukan sekadar mempertahankan sebuah parti politik, sebaliknya membawa amanah besar untuk membela nasib rakyat, memperkukuh perpaduan negara serta memastikan pembangunan terus dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Perjuangan ini bukan sekadar mempertahankan sebuah organisasi politik, tetapi merupakan amanah besar untuk membela nasib rakyat, memperkukuh perpaduan serta memastikan pembangunan terus dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Selagi perjuangan ini berpaksikan keikhlasan, kesatuan dan khidmat kepada rakyat, insya-Allah UMNO akan terus kekal relevan serta terus diyakini,” katanya.

Mohamad turut mengingatkan seluruh ahli supaya tidak menjadi pejuang yang hanya lantang ketika berada dalam keadaan selesa, sebaliknya terus istiqamah mempertahankan perjuangan ketika parti berdepan ujian dan cabaran.

“Jangan sesekali kita menjadi pejuang yang hanya lantang ketika senang, tetapi menghilang ketika diuji.

“Kekuatan sebenar seorang pejuang lahir daripada kesetiaan, pengorbanan dan keberanian untuk terus berdiri walau diasak pelbagai cabaran,” ujarnya.

Beliau menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO agar terus merapatkan saf, memperkukuhkan tekad serta bergerak seiring demi memastikan parti terus menjadi benteng kepada rakyat dan negara.

“Ayuh semua, rapatkan saf, tekad kita teguhkan, sederap kaki melangkah. Dengan jiwa penuh bersemangat, kita terus bekerja, kita terus berkhidmat dan berbakti untuk agama, demi bangsa, tanah air serta masa depan rakyat Malaysia,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO