Persefahaman BN-PN Bawa Mesej Kestabilan Demi Masa Depan Negeri Sembilan

SEREMBAN, 26 Julai – Kehadiran pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di atas satu pentas dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar memenuhi jadual kempen, sebaliknya membawa mesej yang lebih besar iaitu mengutamakan kepentingan rakyat serta masa depan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, persefahaman yang terjalin antara kedua-dua gabungan politik itu lahir daripada suara rakyat yang mahukan kestabilan politik, pentadbiran yang berkesan dan sebuah kerajaan yang mampu memberi fokus kepada pembangunan negeri serta bukan terus terperangkap dalam pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan.

“Persefahaman ini tidak bermaksud kita perlu bersetuju dalam semua perkara. Sebaliknya, ia dibina atas kesedaran bahawa ada perkara yang lebih besar daripada perbezaan politik, iaitu tanggungjawab terhadap rakyat.

“Kita datang daripada latar perjuangan yang berbeza, namun kita berkongsi matlamat yang sama, iaitu memastikan Negeri Sembilan terus aman, stabil dan Makmur,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu dalam satu kenyataan yang dikongsi Facebook.

Dalam masa yang sama, Jalaluddin menegaskan bahawa UMNO tidak pernah berganjak daripada asas perjuangannya sejak ditubuhkan lebih lapan dekad lalu.

“Sejak penubuhannya, UMNO mempertahankan agama Islam sebagai agama Persekutuan, mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung negara dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perjuangan ini bukan perjuangan yang muncul ketika pilihan raya. Ia adalah prinsip yang menjadi tunjang kepada kewujudan UMNO sejak lebih lapan dekad yang lalu.

“Kita percaya bahawa bangsa Melayu yang kukuh akan menjadi tiang seri kepada kestabilan negara. Melayu yang bersatu akan menjadi benteng kepada agama, institusi Raja-Raja dan Perlembagaan. Selagi asas itu kukuh, selagi itulah negara akan terus berdiri dengan teguh menghadapi pelbagai cabaran,” kata calon BN dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang itu lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata mempertahankan hak orang Melayu tidak pernah bermaksud menafikan hak kaum lain, sebaliknya menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara dan negeri yang aman dan sejahtera.

“Namun dalam mempertahankan prinsip tersebut, kita juga tidak pernah melupakan satu hakikat penting. Malaysia tidak dibina oleh satu kaum sahaja. Negeri Sembilan juga tidak dibangunkan oleh satu kaum sahaja.

“Orang Melayu menyumbang kepada kemajuan negeri ini. Masyarakat Cina menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Masyarakat India menyumbang kepada kemajuan sektor perladangan, profesional dan perusahaan. Semua memainkan peranan dalam membina negeri yang kita cintai ini.
“Atas sebab itulah, sejak dahulu lagi Barisan Nasional memilih jalan muafakat. UMNO berjalan bersama MCA, MIC dan parti-parti komponen yang lain kerana kita memahami bahawa mempertahankan hak orang Melayu tidak pernah bermaksud menafikan hak kaum lain,” katanya.

Jelasnya lagi, memartabatkan Islam tidak pernah bermaksud meminggirkan penganut agama lain dan mengangkat kedudukan Bumiputera juga tidak pernah bermaksud menutup ruang kemajuan kepada masyarakat lain.

“Sebaliknya, apabila Melayu kuat sebagai teras negara, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan masyarakat Cina terus yakin terhadap masa depan mereka, masyarakat India terus merasa dihargai, masyarakat Orang Asli juga tidak merasa mereka ditinggalkan.

“Semangat yang kita bawa adalah negeri ini adalah rumah bersama yang memberikan peluang, keamanan dan masa depan kepada semua, tanpa menggadaikan hak dan keistimewaan Melayu, Bumiputera dan agama Islam,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO