Dr Naqib Turun Padang, Teliti Risiko Banjir Di Panti
KOTA TINGGI, 24 Nov – Beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti diberi perhatian menerusi tinjauan bersama agensi berkaitan bagi meneliti masalah sistem saliran serta risiko banjir di kawasan berkenaan.
ADUN Panti yang juga Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, tinjauan turun padang itu bertujuan melihat sendiri keadaan di lokasi terlibat selain mendengar aduan penduduk berhubung masalah sistem saliran yang dihadapi.
Antara lokasi yang dilawati termasuk Jalan Remia dan Jalan Kundang, Taman Kota Jaya, selain meninjau keadaan sungai di Jalan Remia serta Sungai Kemang bagi melihat situasi semasa dan mengenal pasti isu yang memerlukan perhatian serta tindakan lanjut.
Menurutnya, lawatan itu turut memberi peluang untuk meneliti keadaan infrastruktur saliran di kawasan terlibat, khususnya sebagai langkah persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.
“Pendekatan turun padang ini penting bagi memastikan permasalahan yang dibangkitkan penduduk dapat dikenal pasti secara langsung, sekali gus memudahkan penyelarasan tindakan bersama agensi yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Turut bersama dalam tinjauan berkenaan ialah Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Kampung serta pegawai daripada Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan pihak Safwa bagi membantu mengenal pasti permasalahan serta menyelaras tindakan susulan mengikut bidang tanggungjawab masing-masing.
Beliau berkata, setiap aduan dan perkara yang dibangkitkan akan diberikan perhatian untuk tindakan serta penyelarasan bersama pihak berkaitan.
“Keutamaan adalah memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi kemungkinan berlakunya banjir sepanjang musim tengkujuh,” tambahnya. – UMNO Online
