‘Penyatuan Melayu Bukan Ancaman Kepada Kaum Lain’ – Dr Akmal
KUALA PILAH, 26 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh berkata usaha memperkukuh penyatuan orang Melayu tidak pernah bertujuan menafikan atau mengambil hak mana-mana kaum lain.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata pihak yang berasa bimbang terhadap penyatuan tersebut seharusnya menjelaskan sebab kebimbangan itu kerana perjuangan BN adalah berdepan lawan politiknya iaitu Dap dan Pakatan Harapan (PH), bukannya mana-mana kaum.
“Tentang penyatuan umat orang Melayu ini, kita tak pernah cakap pun hendak ambil hak orang lain. Bila kita bercakap tentang Melayu perlu bersatu bersama, kita tak pernah cakap pun bila Melayu bersatu ini hendak ambil hak orang Cina dan India.
“…tapi ada puak mereka sendiri yang seolah-olah takut dengan penyatuan ni. Kenapa nak takut? Kalau mereka tidak rasa benda ni mengancam mereka, dia tidak perlu rasa takut.
“Paling penting, kita bukan lawan Cina, India… yang kita lawan Dap dan Pakatan Harapan. Jadi kita tidak pernah pun buat isu sentimen perkauman yang buat perkauman ini adalah merekalah,” tegasnya.
Dr Akmal berkata demikian ketika ditemui UMNO Online seusai program Moh Sembang Santai di Dewan Terbuka Sungai Dua Kecil sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil.
Mengulas lanjut, Dr Akmal turut berharap pengundi di negeri ini memanfaatkan PRN bagi menterjemah sokongan kepada BN seperti yang berlaku di Johor.
Menurut beliau, keputusan itu juga boleh menjadi isyarat jelas bahawa rakyat menolak kegagalan PH menunaikan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.
“Sebelum ini kemarahan rakyat terhadap Johor hari ini kemarahan rakyat terhadap PH yang berbohong, janji macam-macam tapi sampai ke hari ini tidak ditunaikan.
“Maka ini adalah peluang untuk orang Negeri Sembilan, macam mana Johor sudah buat tunjukkan kepada mereka, hari ini kita tunjukkan jalan keluar kepada PH di Negeri Sembilan pula, insya-Allah,” ujar beliau.
Terdahulu, Nga Kor Ming membidas Perikatan Nasional, kononnya menabur kenyataan berbaur perkauman dan cuba memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
