Pembinaan 1,300 RKAT Bukti Komitmen Kerajaan Perkukuh Kebajikan Warga ATM

TAMPIN, 26 Julai – Pembinaan 1,300 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Syed Sirajuddin di Gemas membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tumpuan turut diberikan kepada aspek pendidikan anak-anak anggota tentera, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan.

“Saya mengucapkan tahniah kerana di Kem Syed Sirajuddin ini, rumah baharu lebih daripada 1,300 unit sedang dibina dan akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Keprihatinan terhadap aspek perumahan, pendidikan dan kebajikan seluruh anggota angkatan tentera mesti diutamakan oleh kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hari Keluarga ATM Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman.

Mengenai pendidikan anak-anak warga tentera, Ahmad Zahid berkata selain persekitaran persekolahan yang kondusif, kemudahan pengangkutan juga perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Anak-anak kita di tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah mesti diberikan perhatian. Jangan naik lori pergi sekolah. Kita mesti sediakan bas untuk mereka pergi ke sekolah.

“Apabila anak-anak mendapat pendidikan yang baik dan kebajikan keluarga mereka terpelihara, anggota tentera akan dapat menjalankan tanggungjawab mempertahankan negara dengan lebih tenang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga amat menghargai jasa dan pengorbanan warga ATM yang bukan sahaja mempertahankan negara ketika peperangan, malah turut memastikan keamanan negara terus terpelihara hingga kini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebajikan veteran dan anggota tentera sentiasa menjadi keutamaan kerajaan selaras dengan sumbangan besar mereka yang menjadi tonggak kepada kestabilan dan keamanan negara.

Bagi memastikan aspek kebajikan warga ATM terus terbela, Anwar berkata menerusi peruntukan dalam belanjawan sedia ada, sebanyak RM844 juta diluluskan bagi perkhidmatan perumahan tahun ini untuk membaik pulih serta membangunkan RKAT.

Beliau berkata ia merangkumi pelbagai projek perumahan baharu dan pembaikan infrastruktur di kem tentera, antaranya pembinaan 1,300 unit rumah baharu di Kem Syed Sirajuddin, Gemas. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO