Kemenangan PRN Johor Jadi Pemangkin Perkukuh UMNO Hadapi PRU-16

PENGERANG, 26 Julai – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan titik tolak untuk memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, seluruh kepimpinan dan ahli parti tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan yang diraih, sebaliknya perlu terus bekerja memperkukuhkan organisasi parti di peringkat akar umbi.

Menurut beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, fokus utama ketika ini ialah memperkasakan gerak kerja Pusat Daerah Mengundi (PDM) kerana kekuatan parti bermula daripada jentera di setiap lokaliti.

“Tahniah kepada seluruh jentera dan ahli parti atas kemenangan PRN Johor. Kemenangan ini bukan noktah perjuangan, sebaliknya menjadi permulaan kepada gerak kerja yang lebih tersusun menuju PRU-16.

“Gerak kerja kita sekarang perlu ditumpukan kepada PDM. Setiap PDM mesti digerakkan secara aktif, mempunyai data yang kemas serta jentera yang sentiasa bersedia,” kata Ketua Penerangan UMNO itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pengerang, Sabtu.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh semangat itu menghimpunkan bukan hanya perwakilan tetapi juga pemerhati serta kepimpinan bahagian yang memenuhi dewan dengan mengenakan pakaian bertemakan merah putih, melambangkan kesatuan dan semangat perjuangan UMNO.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, usaha menambah keahlian parti perlu dijadikan agenda berterusan bagi memastikan UMNO terus relevan serta mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan muda.

“Setiap cawangan perlu memainkan peranan menarik lebih ramai ahli baharu. Pertambahan keahlian bukan sekadar meningkatkan jumlah anggota, tetapi memperkukuhkan kekuatan jentera dan memastikan kesinambungan perjuangan parti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO perlu memberi fokus untuk bergerak secara sendiri dengan membina kekuatan parti yang berteraskan perpaduan ahli, jentera yang mantap serta hubungan erat dengan rakyat.

“Kita fokus kepada solo dengan membina kekuatan parti. Kekuatan sebenar UMNO terletak pada ahlinya, cawangannya dan jentera akar umbi yang sentiasa mendampingi rakyat.

“Apabila asas parti kukuh, insya-Allah kita akan lebih bersedia menghadapi PRU-16 dengan penuh keyakinan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh ahli agar mengekalkan semangat kebersamaan dan tidak berhenti bekerja walaupun PRN telah berakhir.

“Kemenangan PRN Johor membuktikan rakyat masih meletakkan keyakinan kepada UMNO dan Barisan Nasional. Justeru, kita perlu terus turun padang, mendengar denyut nadi rakyat serta memperkukuhkan organisasi parti agar momentum ini dapat diteruskan sehingga PRU-16,” katanya.

Beliau percaya dengan gerak kerja yang tersusun, penambahan keahlian yang berterusan serta pengukuhan PDM di seluruh kawasan, UMNO akan terus kekal sebagai parti yang diyakini rakyat dalam memperjuangkan agenda agama, bangsa dan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO