Tawaran BN Realistik, Wujudkan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto
REMBAU, 25 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dirangka secara realistik, mengikut kemampuan kerajaan dan keperluan rakyat.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, ia adalah komitmen yang akan menjadi panduan kepada pentadbiran negeri sekiranya parti itu diberi mandat.

“BN mengambil pendekatan yang cukup teliti dalam menyediakan manifesto bagi PRN kali ini. Kita tidak bermula dengan memikirkan apakah janji yang paling menarik untuk didengar. Sebaliknya, kita bermula dengan satu persoalan yang lebih penting, iaitu apakah yang benar-benar diperlukan oleh rakyat Negeri Sembilan.
“Manifesto ini bukan sekadar dokumen pilihan raya. Ia adalah komitmen yang akan menjadi panduan kepada pentadbiran negeri sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada kita.
“Sebab itulah setiap tawaran yang terkandung di dalamnya dirangka secara realistik, berpaksikan kemampuan kerajaan dan keperluan sebenar rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Manifesto BN, Jumaat malam.
Ujarnya, manifesto tersebut merangkumi pelbagai aspek penting yang menyentuh kehidupan seharian rakyat.
“Kita tidak mahu menjanjikan sesuatu yang sukar dilaksanakan. Kita mahu menawarkan penyelesaian yang benar-benar boleh memberikan manfaat kepada rakyat.
“Manifesto yang dilancarkan lagi merangkumi pelbagai aspek penting yang menyentuh kehidupan rakyat. Daripada usaha memperkukuh ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang, kepada peningkatan taraf hidup, pendidikan, pembangunan belia, wanita dan usahawan.
“Daripada pembangunan pertanian dan luar bandar kepada aspek keselamatan, perumahan, alam sekitar, pelancongan, perpaduan serta usaha mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Kesemuanya dirangka dengan satu matlamat, iaitu memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa ada yang tercicir,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa manifesto tersebut turut disokong dengan penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto.
“Apa yang membezakan BN ialah kita bukan sahaja berani membuat komitmen, tetapi kita juga bersedia untuk dipertanggungjawabkan. Sebab itulah manifesto ini turut disokong dengan penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto, supaya setiap komitmen yang dibuat dapat dipantau, dinilai dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Bagi kami, kejayaan sesebuah manifesto bukan diukur pada hari ia dilancarkan, tetapi apabila rakyat dapat merasai manfaatnya.
“Kemenangan BN adalah kemenangan seluruh rakyat Negeri Sembilan yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mampu bekerja untuk mereka,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru rakyat untuk menilai dan membuat keputusan berdasarkan trek rekod yang telah dibuktikan sebelum ini.
“Kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, kami tidak meminta saudara dan saudari membuat keputusan berdasarkan emosi atau sentimen. Nilailah kami berdasarkan rekod yang telah kami buktikan, berdasarkan komitmen yang kami bentangkan dan berdasarkan keupayaan kami untuk melaksanakan amanah yang bakal diberikan.
“Kita semua berkongsi impian yang sama. Kita mahu melihat Negeri Sembilan terus aman, terus dan menjadi sebuah negeri yang memberikan peluang kepada setiap anak muda, kesejahteraan setiap keluarga serta harapan kepada setiap rakyat.
“Sebab itulah kita memilih untuk terus membina kestabilan. Ini kerana dengan kestabilan, negeri akan terus terjaga. Dengan negeri yang terjaga, rakyat akan terus terbela. Apabila rakyat terbela, Insya-Allah kemakmuran akan terus dapat kita cipta bersama,” katanya lagi.
Untuk rekod, BN telah melancarkan manifesto sempena PRN Negeri Sembilan yang menggariskan sembilan teras utama dan 88 gerak kerja.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto tersebut dirangka untuk menyambung gerak kerja yang tertangguh selepas kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
