Sufian Terus Dengar Harapan Rakyat Seri Menanti
KUALA PILAH, 25 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi meneruskan siri kempen beliau dengan ziarah rumah ke rumah menyantuni pengundi.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah memanfaatkan peluang tersebut bagi mendengar harapan rakyat untuk penambahbaikan di kawasan tersebut.
“Alhamdulillah, dipermudahkan urusan kempen. Kita berpeluang bertemu pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, golongan pertengahan dan juga anak perantau yang kebetulan pulang bercuti yang masih mengundi di sini.
“Antara harapan yang disuarakan ialah berkaitan bantuan kebajikan. Ada yang memaklumkan sebelum ini mereka menerima bantuan tetapi tahun ini nama mereka tiada lagi dalam senarai.
“Mereka berharap kita dapat membantu menyelesaikan perkara tersebut melalui agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Suffian berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada ziarah kasih yang dilakukan beliau di Kampung Tanjung Limau Purut, di sini.
Mengulas maklum balas yang diterima daripada penduduk, beliau berkata kebanyakan mereka berharap BN kembali menerajui Kerajaan Negeri Sembilan.
“Mereka juga mendoakan agar BN kembali menjadi kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai pengundi muda yang menurutnya perlu sentiasa didekati kerana mereka masih belum mempunyai kesetiaan yang kukuh terhadap mana-mana perjuangan politik.
“Kita sudah beberapa kali mengadakan sesi pertemuan dengan pengundi muda dan setakat ini sambutannya menggalakkan.
“Sebab itu kita perlu sentiasa mendekati mereka, menyantuni setiap kelompok dan memberi kefahaman supaya sokongan dapat dibina sedikit demi sedikit sehingga hari terakhir kempen,” katanya.
Untuk rekod Muhammad Sufian pada PRN kali ini berhadapan dengan saingan tiga penjuru daripada calon Pakatan Harapan dan Bersatu.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos, manakala pengundian awal diadakan pada 28 Julai. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
