Persefahaman Dengan PN Tidak Jejas Kedudukan BN Dalam Kerajaan Perpaduan

SEREMBAN, 25 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berpandangan bahawa persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak akan menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Ujarnya, kedinamikan yang berlaku pada ketika ini menyebabkan parti-parti politik perlu mengatur strategi terbaik untuk menang pada pilihan raya.

“Kita mengambil maklum bahawa dunia politik hari ini tidak sama macam dahulu. Kita kena terima hakikat pada hari ini bahawa bukan hanya Malaysia, bukan hanya UMNO, bukan hanya parti-parti lain di Malaysia yang melalui pelbagai perubahan.

“Tetapi pada hakikatnya, walaupun kita ada ‘understanding’ dengan PN, pada hakikatnya kita masih juga menjadi salah satu parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jadi dalam kempen kita membawa isu-isu yang bersesuaian. Jadi apabila kita turun hari ini di Lenggeng untuk calon BN, Datuk Mohd Asna, kita cerita tentang kebaikan, jasa, kepimpinan dan perkhidmatan beliau. Kita tidak menafikan yang lain-lain sebab semua parti ada hak mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, BN mengambil pendekatan untuk berkempen secara sihat bagi mempromosikan calon tanpa menjejaskan sebarang status quo Kerajaan Perpaduan.

“Tetapi kita cerita tentang macam hari ini di Lenggeng, bagaimana calon yang kita sokong iaitu calon BN, Datuk Mohd Asna… beliau telah memberikan perkhidmatan yang terbaik, para pengundi kenal beliau… maka itulah yang kita promosikan.

“Jadi, saya nampak bahawa (persefahaman) tidaklah menjadi masalah besar. Kalau ada sikit-sikit permasalahan, itu biasa. Tetapi ia tidak menjejaskan apa-apa pun kerana kita kena ingat dunia politik hari ini sudah berubah, tidak sama dah macam dahulu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa BN akan dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan berdasarkan trek rekod perkhidmatan yang cemerlang sebelum ini.

“Sudah semestinya saya mendoakan kejayaan BN untuk membentuk kerajaan negeri. Saya yakin bahawa pada akhirnya, pengundi di Negeri Sembilan akan memilih calon-calon yang terbaik.

“Mereka tahu bahawa calon-calon BN, suka atau tak suka, mesti menerima hakikat bahawa mereka mempunyai pengalaman. Mereka mempunyai visi dan iltizam untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing bagi menentukan kestabilan apa di Negeri Sembilan ini, insya-Allah,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO