Pengundi Mahu Wakil Rakyat Turun Padang Bukan Hanya Ketika Pilihan Raya

KUALA PILAH, 25 Julai – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Negeri Sembilan yang melepasi minggu pertama semakin rancak dengan pelbagai isu berkaitan kepentingan dan kebajikan rakyat yang menjadi tumpuan sepanjang kempen.

Berdasarkan tinjauan, rata-rata pengundi berharap wakil rakyat yang dipilih pada PRN kali ini pemimpin yang sentiasa turun padang dan mendengar permasalahan rakyat.

Bagi peniaga, Lee Chee Khing, 52, yang ditemui di Pasar Awam Kuala Pilah, beliau berkata kehadiran pemimpin di lapangan amat penting bagi membolehkan mereka melihat sendiri masalah yang dihadapi serta mencari penyelesaian yang berkesan.

“Kita mahukan pemimpin yang selalu turun padang, berjumpa rakyat dan dengar sendiri masalah yang dihadapi.

“Barulah mereka tahu apa yang diperlukan oleh penduduk di kawasan ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Menurutnya, rakyat tidak hanya mahu melihat wakil rakyat hadir ketika musim pilihan raya, sebaliknya berharap pemimpin yang terus mendampingi masyarakat selepas diberi mandat.

Katanya hubungan yang rapat antara wakil rakyat dan masyarakat akan memudahkan penyampaian bantuan serta memastikan setiap isu dapat ditangani dengan lebih cepat.

“Semasa di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) dahulu, suasana memang lebih meriah. Pasar pagi juga ramai orang dan peniaga pun seronok berniaga.

“Pada pandangan saya, kepimpinan BN lebih berkualiti dan sentiasa bekerja untuk rakyat.

“Sebab itu saya berharap rakyat terus memberi sokongan kepada BN di negeri ini. Negeri Sembilan bukan negeri yang besar, jadi ia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO