Mesyuarat Perwakilan UMNO Medan Perkukuh Ukhuwah, Satukan Tekad Perjuangan

LUMUT, 25 Julai – Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, sebaliknya menjadi platform penting untuk bermuhasabah, memperkukuh ukhuwah, menyatukan tekad dan memperbaharui iltizam dalam meneruskan perjuangan parti.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, setiap mesyuarat yang diadakan perlu dimanfaatkan sebagai ruang memperkukuh kesepaduan dalam kalangan ahli bagi memastikan UMNO terus kekal relevan dan diyakini rakyat.

“Mesyuarat ini bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, tetapi menjadi medan untuk kita bermuhasabah, memperkukuh ukhuwah, menyatukan tekad dan memperbaharui iltizam dalam meneruskan perjuangan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Dr Zambry bersyukur Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut bagi Tahun 2026 berjaya dilaksanakan dengan baik.

Tambah Dr Zambry lagi, dalam landskap politik yang semakin mencabar ketika ini, kekuatan UMNO tidak hanya bergantung kepada barisan kepimpinan semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh kesatuan hati, disiplin dan komitmen seluruh ahli untuk terus bekerja serta berkhidmat kepada rakyat.

“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan ini, kita akan terus memperkukuh UMNO Bahagian Lumut, mengukuhkan Barisan Nasional, serta memastikan perjuangan demi agama, bangsa dan negara terus dipertahankan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh perwakilan, ahli-ahli UMNO Bahagian Lumut, perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri serta semua petugas yang telah memainkan peranan menjayakan mesyuarat berkenaan.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kelancaran perjalanan mesyuarat dan berharap semangat yang dizahirkan sepanjang persidangan akan diterjemahkan melalui gerak kerja yang lebih tersusun, bersepadu dan berkesan demi memperkukuhkan parti di semua peringkat.

“Terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan komitmen semua. Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha dan langkah perjuangan kita,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO