Manifesto BN ‘Sambung Yang Tergendala’… Sembilan Teras, 88 Gerak Kerja

REMBAU, 24 Julai – Manifesto Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menggariskan sembilan teras utama dan 88 gerak kerja.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto tersebut dirangka untuk menyambung gerak kerja yang tertangguh selepas kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Malam ini (Jumaat), BN Negeri Sembilan telah melancarkan manifesto PRN Negeri Sembilan ke-16 dengan sembilan teras utama dan 88 gerak kerja. Ini merupakan manifesto untuk menyambung kerja yang telah kita buat dahulu… yang telah kita rancang melalui dasar-dasar kita.

“Antaranya, Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2015-2045, dasar untuk membangunkan ekonomi yang didokong oleh Malaysia Vision Valley (MVV) serta dasar pengangkutan.

“Jalan-jalan baharu juga akan dibangunkan, termasuk Second Outer Ring Road Negeri Sembilan. Selain itu, terdapat juga perancangan untuk membangunkan sistem kereta api komuter dan jajaran jalan yang telah diluluskan, daripada KLIA merentasi Enstek, Sendayan, kemudian merentasi Jalan Seremban-Port Dickson sehingga ke Tol Senawang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sejurus selepas Majlis Pelancaran Manifesto sempena PRN Negeri Sembilan ke-16, Jumaat malam.

Beliau yang juga calon BN dan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata perancangan jalan bertingkat dari tol Senawang hingga ke Hospital Salam akan direalisasikan untuk mengurangkan kesulitan rakyat berdepan kesesakan jalan raya.

“Kita telah mendapat kelulusan secara dasar, tetapi melalui inisiatif swasta, untuk membina laluan kedua daripada Seremban ke sempadan Pahang.

“Laluan ini melalui Temiang, di belakang Tanjung Ipoh, Kampung Talang, sehingga di belakang Kampung Tengkek, sebelum merentasi ke Bandar Baru Serting. Ia merupakan jalan bertol yang akan diuruskan oleh pihak swasta.

“Ini semua telah kita rancang dan telah mendapat kelulusan secara dasar. Tetapi malangnya, ia terencat kerana kita kalah pada 2018. Jadi, ini yang kita mahu sambung semula,” katanya lagi.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa semua usaha tersebut dilakukan untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai salah sebuah negeri yang boleh bersaing sebagai negeri yang membangun.

“Jadi, inilah yang kita mahu lakukan, iaitu menyambung semula kerja yang tergendala untuk kita bangkit semula dan menjadikan Negeri Sembilan sebagai salah sebuah negeri yang boleh bersaing sebagai negeri yang membangun dan maju. Insya-Allah.

“Saya berbincang dengan rakan-rakan supaya kita jangan susah-susah menggubal manifesto baharu kerana kita sudah ada satu rancangan dasar yang baik sebelum ini dan telah diterima oleh rakyat.

“Tetapi pada 2018, ramai yang keliru. Mungkin dari segi kematangan politik ketika itu tidak begitu baik. Orang tidak dapat membezakan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan. Jadi, mereka terus menolak dan kita pun hanyut sekali pada 2018.

“Tetapi Insya-Allah, rakyat sekarang sudah tahu. Kita telah melihat gelombang di Johor dan kita juga dapat melihat perkembangan di Negeri Sembilan. Sepanjang seminggu kita berkempen, reaksi rakyat amat menggalakkan,” katanya lagi.

Tambahnya, manifesto tersebut turut dirangka untuk meraikan masyarakat dari pelbagai lapisan umur dan status.

“Kita harap dan berdoa pada 1 Ogos nanti, rakyat akan memberikan semula mandat kepada BN untuk kita teruskan kerja-kerja bagi mensejahterakan Negeri Sembilan dan rakyat. Kita mahu meraikan golongan ilmuwan dan memastikan semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan, termasuk nelayan, penternak dan peladang.

“Kita akan menyediakan Tapak Kekal Pengeluaran Pertanian (TKPM), iaitu tapak pertanian seluas 50 ekar di setiap daerah supaya dapat mengeluarkan lebih banyak hasil makanan di Negeri Sembilan.

“Di Gemas, kita ada pengeluaran cempedak dan nangka. Di Lenggeng, kita keluarkan serai. Macam-macam hasil boleh kita keluarkan supaya Negeri Sembilan menjadi negeri pengeluar, bukan negeri yang membeli.

“Kita mahu memastikan bekalan makanan kita mencukupi dan tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan dari luar Negeri Sembilan. Sebab itu, tanah-tanah terbiar akan kita usahakan semula untuk dijadikan kawasan pertanian dan sawah. Kita terlalu banyak bergantung kepada sumber makanan dari luar Negeri Sembilan dan perkara ini tidak baik,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO