Manifesto BN N. Sembilan Berpaksikan Realiti, Demi Masa Depan Rakyat – Jailani

SEREMBAN, 25 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jailani Johari berkata malam tadi menjadi detik penting buat rakyat Negeri Sembilan apabila Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto yang lahir daripada suara rakyat, berpaksikan realiti dan berpandukan keperluan masa hadapan.

Katanya, ia iukan sekadar janji di atas kertas, tetapi komitmen yang disusun dengan 88 ikhtiar melalui 9 teras utama demi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat.

“Daripada memperkukuh ekonomi, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperkasa pendidikan, menyediakan perumahan yang lebih mampu milik, memperluas kebajikan rakyat, mengangkat potensi belia dan anak muda, hinggalah memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, cekap dan berintegriti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya, pendekatan yang dibawa BN membuktikan parti itu memiliki perancangan jelas serta hala tuju yang mampu memastikan Negeri Sembilan terus berkembang sebagai sebuah negeri yang maju, makmur dan sejahtera.

“Inilah komitmen Barisan Nasional. Inilah ikhtiar yang telah bersama kita bina Negeri Sembilan yang lebih maju, lebih makmur dan lebih sejahtera.

“Insya-Allah, dengan sokongan dan mandat rakyat, segala yang dirancang akan diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.

Malam tadi, Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan manifesto yang bertemakan “Hebatkan Semula Negeri Sembilan, Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta”, dengan menggariskan sembilan teras utama dan 88 gerak kerja. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO