Dr Asyraf Akan Fail Gantirugi RM5 Juta Kepada Dua Pemfitnah

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah mengarahkan peguamnya mengeluarkan Surat Tuntutan ke atas pemilik akaun Abied Abdullah yang memfitnah, mengaibkan dan menjatuhkan reputasinya.

Tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu, pemilik akaun Facebook itu cuba mengaitkannya dengan isu Tabung Haji, dituntut membuat permohonan maaf, menarik balik kenyataan, akujanji dan gantirugi berjumlah RM5 Juta dan jika gagal Saman akan difailkan.

“Ini semua fitnah untuk mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya. Sedangkan saya tidak terlibat langsung dalam apa jua isu yang dikaitkan dengan Tabung Haji ini.

“Malah dari awal lagi saya tegas mendesak pihak berkuasa supaya ambil tindakan segera terhadap sesiapa yang disyaki melakukan apa jua bentuk rasuah atau salah guna kuasa melibatkan Tabung Haji.

“Sehingga hari ini tiada siapapun didakwa. Hanya timbulkan isu ketika Pilihan Raya Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambah Dr Asyraf, peguamnya Datuk Adenan Seman akan mulakan prosiding saman terhadap Abied Abdullah pemilik akaun itu yang sengaja mencetuskan persepsi jahat untuk memfitnah dan merosakkan reputasinya.

“InsyaAllah, barisan peguam saya akan siapkan Notis Tuntutan dan prosiding saman sebanyak RM5 juta kerana posting fitnah ini telah tersebar secara meluas dan merosakkan reputasi saya,” katanya.

Tambahnya lagi, sebagaimana kemenangan dalam kes-kes samannya sebelum ini, setiap sen yang beliau perolehi jika menang dalam kes saman RM5 Juta ini, akan disalurkan semuanya kepada Yayasan Pelajaran MARA.

“…untuk membantu setiap anak-anak miskin yang hadapi kesukaran untuk menyambung pengajian ataupun menghadapi masalah kewangan dalam pembelajaran di mana-mana institusi pendidikan tinggi. Moga Allah permudahkan urusan ini,” katanya.

Terkini, dalam hantarannya di Facebook juga, selain Abied Abdullah (Habin Faisal bin Mohamed) turut difailkan tuntutan adalah terhadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Amanah Datuk Dr Ismail Salleh. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO