Ahli JKKK Berperanan Sebagai Duta Kerajaan Di Peringkat Kampung

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin pada semalam telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada 41 Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau di Pejabat Daerah Kinabatangan.

Jafry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada Pegawai Daerah Kinabatangan Suhaimi Ijap serta seluruh warga Pejabat Daerah Kinabatangan atas kejayaan menyelaras proses pelantikan JKKK bagi kawasan itu.

“Tahniah kepada semua Ahli JKKK yang menerima watikah pelantikan. Amanah ini bukan sekadar satu pengiktirafan, malah merupakan satu tanggungjawab besar.

“Ahli JKKK adalah duta kerajaan di peringkat kampung yang berperanan menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat, menyampaikan dasar-dasar kerajaan serta memastikan setiap keperluan, isu dan aspirasi penduduk dapat disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan sewajarnya,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Selain itu, Jafry turut mengingatkan agar setiap JKKK menghantar profil kampung dan laporan perkembangan setiap enam bulan kepada Pejabat Daerah Kinabatangan dan Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Sukau supaya setiap perancangan pembangunan dapat dipantau secara berterusan.

“Setiap JKKK juga perlu mengenal pasti dan mengemas kini rizab tanah perkuburan, membantu memperkukuh keselamatan kampung, serta berganding bahu dengan agensi berkaitan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan gejala sosial demi mewujudkan komuniti yang lebih selamat, harmoni dan Sejahtera,” katanya lagi.

Justeru itu, Jafry yang juga Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah berharap agar semua Ahli JKKK dapat menggalas amanah ini dengan penuh integriti, komitmen dan semangat berkhidmat demi kemajuan kampung serta kesejahteraan rakyat di DUN Sukau.

“Bersama memperkukuh kepimpinan akar umbi, memperkasa komuniti dan membina masa depan Sukau yang lebih maju dan Sejahtera,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO