Tabung Haji: Rakyat Berhak Tahu Fakta Sebenar

TAMPIN, 24 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata kejatuhan pasaran saham selepas perubahan kerajaan pada 2018 menjadi antara faktor utama yang memberi kesan kepada prestasi pelaburan institusi termasuk Tabung Haji.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memaklumkan perkara itu perlu dilihat berdasarkan fakta dan sentimen pasaran ketika itu, bukannya meletakkan keseluruhan punca kepada mana-mana pihak.

“Saya ingin menyebut bahawa ada tiga sebab kenapa pasaran pada ketika itu merosot, merudum. Pertama, Barisan Nasional (BN) kalah… mereka menganggap keadaan negara tidak akan stabil.

“Yang kedua, pemansuhan GST (cukai barang dan perkhidmatan), maka ia memberikan sentimen yang tidak baik kepada bursa saham dan pasaran saham apabila mereka menjangkakan negara akan kehilangan hasil yang besar.

“Yang ketiga, daripada RM50 bilion hutang, tetapi disebut hutang RM1.3 trilion. Tiga-tiga perkara ini menyebabkan pasaran saham memberi reaksi yang negatif,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan tinjauan di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh dan seterusnya sembang santai bersama pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gemencheh Lama.

Turut hadir calon BN DUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan seorang menteri yang mengaitkan isu Tabung Haji dengan kepimpinan sebelum ini.

Ahmad berkata beliau telah meminta menteri berkenaan mendapatkan fakta yang tepat supaya punca sebenar kemerosotan tersebut dapat difahami.

“Saya minta beliau cari fakta kerana kejatuhan saham selepas BN tidak memerintah pada 2018 adalah antara faktor utama kenapa Tabung Haji terjejas.

“Jangan anggap kita tidak mempunyai maklumat. Kita mempunyai banyak maklumat mengenai perkara ini dan fakta perlu dijelaskan dengan tepat kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan berkata, pengalaman tersebut memberinya kefahaman mengenai faktor ekonomi yang menyebabkan beberapa institusi mengalami kerugian ketika itu. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO