PRN N. Sembilan: BN Cadang Wujudkan Pegawai Khas Orang Asli Di Pejabat MB
JELEBU, 24 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar diwujudkan seorang pegawai khas mewakili masyarakat Orang Asli di pejabat Menteri Besar jika BN berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, cadangan itu tidak perlu dimasukkan dalam manifesto kerana pelaksanaannya boleh dibuat secara pentadbiran.

“Itu tak perlu manifesto. Itu boleh dilaksanakan secara pentadbiran. Dan ini permintaan mereka. Dan saya fikir permintaan itu adalah munasabah kerana untuk Pahang dan Perak, jawatan itu telah diwujudkan.
“Dan kita lihat bahawa hubungan terus kepimpinan Orang Asli dengan pejabat Menteri Besar di dua negeri ini telah berjalan dengan baik,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada media, sebaik selesai program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tohor, di sini, hari ini.
Selanjutnya, Ahmad Zahid juga mencadangkan jawatan tersebut diwujudkan di negeri Johor.
“Dan saya juga ingin mencadangkan bahawa di Johor juga kerana ramai Orang Asli, agar Menteri Besar Johor dapat melantik Pegawai Khas yang mewakili Orang Asli di pejabat beliau nanti, insya-Allah,” katanya.
Hadir sama ke program tersebut, Ahli Parlimen Jelebu merangkap calon BN dan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Dr Ramli Mohd Nor dan calon BN DUN Chennah Siow Kong Choon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos. – UMNO ONLINE
