Pertahan Melayu/Islam Bukan Rasis, UMNO Adil Kepada Semua Kaum
SEREMBAN, 24 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan UMNO tetap berlaku adil kepada semua kaum dalam mempertahankan kepentingan Melayu-Islam.
Ujarnya, negara akan stabil sekiranya kaum teras di dalam sesebuah negara itu merasa aman dan tidak terancam.

“Dunia di seluruh dunia pada ketika ini, mempunyai semangat nasionalisme yang semakin tinggi. Brexit contohnya, itu adalah semangat nasionalisme. Apa yang berlaku di Amerika sekarang ini, kaum teras mahu mendapat kekuatannya sendiri.
“Kepada mereka yang mengatakan bahawa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ini nanti kalau bergabung akan melahirkan sebuah kerajaan yang rasis… saya nak beritahu bahawa jika kaum teras dalam sesebuah negara itu merasa aman, damai dan selamat, maka negara itu akan stabil.
“Kalau dua parti besar orang Melayu-Islam dan Bumiputera iaitu UMNO dan juga Pas bergabung, jangan kita bersalah sangka bahawa itu akan melahirkan sebuah negara yang rasis,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, hak dan kepentingan kaum-kaum lain tidak pernah diabaikan sepanjang lebih 60 tahun BN memerintah negara.

“Mari kita berfikir dari segi positif… ia akan melahirkan sebuah kaum teras yang merasa selesa dan tidak rasa terancam. Kalau mereka rasa tidak terancam dan tergugat, maka mereka akan menjadikan negara ini lebih stabil.
“Kaum-kaum yang bukan Melayu jangan risau, sebab BN sudah menunjukkan toleransi sewaktu menjadi kerajaan. Kita ada sekolah Cina, ada universiti Cina, ada surat khabar Cina, ada televisyen Cina, ada radio Cina.
“Maksudnya, dalam kepimpinan BN itu dari dulu sampai sekarang… dalam masa kita mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, tetapi dalam Perlembagaan UMNO juga menuntut untuk berlaku adil kepada kaum-kaum yang lain.
“Itulah mesej saya kepada orang-orang yang bukan Islam, bukan Melayu di Negeri Sembilan supaya menyokong calon-calon BN dan juga PN,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
