Pendidikan Johor Terus Diperkasa, Kebajikan Guru Dan SRBJ Jadi Keutamaan
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh agenda pendidikan menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada warga pendidik dan murid, termasuk pelaksanaan Inisiatif Bilik Guru serta pembangunan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi lawatan kerja beliau ke Sekolah Kebangsaan (SK) Petri Jaya bagi meninjau pelaksanaan Inisiatif Bilik Guru yang memperuntukkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada setiap sekolah di negeri ini.
Menurut beliau, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM5.975 juta bagi menjayakan inisiatif tersebut yang memberi manfaat kepada 1,195 buah sekolah dan 49,201 orang guru di seluruh Johor.
Katanya, sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Inisiatif Bilik Guru telah memasuki tahun keempat pelaksanaannya dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM23.865 juta, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan guru sentiasa menjadi keutamaan.

“Pelaburan kepada guru merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan Johor. Apabila guru dihargai dan diberikan persekitaran kerja yang lebih kondusif, mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas mendidik serta melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.
Di SK Petri Jaya, beliau turut meninjau sendiri penambahbaikan bilik guru yang dilengkapi ruang lebih kondusif serta penyediaan kerusi ergonomik bagi meningkatkan keselesaan warga pendidik ketika menjalankan tugas.
Terdahulu, Dr. Muhammad Naqib turut mengadakan lawatan kerja ke dua buah Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) di Pasir Gudang iaitu SK Seri Kota Puteri 4dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 bagi melihat perkembangan pelaksanaan inisiatif transformasi pendidikan tersebut.
Beliau menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor, atas ilham dan visi dalam mencetuskan inisiatif SRBJ yang menjadi pemangkin kepada usaha mentransformasikan landskap pendidikan Johor.
Menurut beliau, SRBJ merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri yang kini dilaksanakan di empat sekolah rintis iaitu SK Tasek Utara, SK Seri Kota Puteri 4, SMK Tasek Utara dan SMK Seri Kota Puteri 2.

Program tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan penguasaan Bahasa Inggeris, pemerkasaan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembangunan sahsiah, peningkatan kebolehpasaran murid serta pentaksiran berasaskan kompetensi dengan sasaran meletakkan sekolah-sekolah berkenaan dalam kelompok 20 sekolah harian terbaik di Malaysia menjelang 2031.
Walaupun masih di peringkat awal pelaksanaan, beliau berkata pelbagai perkembangan positif telah direkodkan hasil komitmen bersama pihak sekolah, guru, murid, ibu bapa serta semua pihak yang terlibat.
Tambah beliau, kerajaan negeri komited memperluaskan pelaksanaan SRBJ ke semua daerah di Johor secara berfasa dalam tempoh lima tahun sehingga 2031 bagi memastikan manfaat transformasi pendidikan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik generasi pewaris bangsa serta menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh dasar pendidikan demi melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berakhlak dan mampu bersaing di peringkat nasional serta global. – UMNO Online
