Onn Hafiz Perkukuh Akses Kesihatan Johor

KULAI, 24 Julai – Usaha memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Johor terus diperkasakan apabila konsep Klinik Decanting diperluaskan menerusi pengoperasian Unit Ibu dan Anak (KKIA) Klinik Kesihatan Kulai di Lotus Kulai bermula 3 Ogos ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah strategik bagi mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Kulai, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Menurut beliau, projek bernilai RM1.19 juta itu kini telah mencapai kemajuan sebanyak 78 peratus dan berada di landasan yang tepat untuk mula beroperasi mengikut jadual.

“Pemindahan operasi ini bukan sekadar pertukaran lokasi, tetapi merupakan langkah penting untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan dan memberi keselesaan yang lebih baik kepada pesakit serta petugas kesihatan.

“Ketika ini, Klinik Kesihatan Kulai memberi perkhidmatan kepada lebih 92,000 penduduk dengan purata 852 pesakit setiap hari, termasuk kira-kira 281 pesakit bagi perkhidmatan Unit Ibu dan Anak. Jumlah ini memberi tekanan kepada kapasiti sedia ada,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas meninjau perkembangan projek berkenaan.

Beliau berkata, kemudahan baharu itu akan menyediakan persekitaran rawatan yang lebih selesa, selamat dan kondusif khususnya kepada ibu, bayi dan kanak-kanak, selain memudahkan petugas kesihatan menjalankan tugas dengan lebih cekap dan tersusun.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai, pihak pengurusan Lotus Kulai serta semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan projek tersebut.

Dalam masa sama, beliau berharap KKM dapat terus memberi perhatian terhadap keperluan penambahan penjawatan petugas kesihatan di Johor bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.

“Tumpuan bukan hanya kepada penyediaan fasiliti yang lebih baik, malah tenaga kerja yang mencukupi juga amat penting bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, cekap dan lancar,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar segala usaha memperkasakan sistem kesihatan di negeri Johor dipermudahkan serta terus memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO