Mengapa Laporan RCI Tabung Haji Hanya Didedahkan Sekarang?
IPOH, 24 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Iqbal Jamal Jamaludin mempersoalkan keputusan kerajaan untuk mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) hanya selepas beberapa tahun laporan itu disiapkan.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan laporan RCI Tabung Haji akan didedahkan dalam masa terdekat, manakala bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli turut menyatakan keterujaan terhadap pendedahan laporan berkenaan.
Menurut Iqbal, sekiranya laporan tersebut mendedahkan wujud salah laku melibatkan pemimpin UMNO sekitar lapan hingga 11 tahun lalu dan mereka didapati bersalah, proses perundangan perlu berjalan tanpa campur tangan.
“Apa pun pendedahan Laporan RCI Tabung Haji, jika ada pemimpin yang didapati bersalah, mereka perlu melalui proses pengadilan. Itu hakikat yang perlu diterima,” katanya.

Iqbal turut membangkitkan beberapa persoalan terhadap kerajaan selepas era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pertama pada 2018 dan PH dalam kerjasama kerajaan semasa selepas 2022.
Antara persoalan yang dibangkitkannya ialah mengapa laporan RCI tersebut hanya mahu didedahkan sekarang sedangkan Rafizi sebelum ini memaklumkan laporan itu telah siap sejak 2023.
“Hampir tiga tahun laporan itu berada dalam simpanan kerajaan. Kenapa hanya sekarang mahu didedahkan, terutama dalam tempoh kempen? Persoalan ini perlu dijawab,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat pertimbangan politik sebelum ini yang menyebabkan laporan berkenaan tidak didedahkan lebih awal.
“Adakah pendedahan ini ditangguhkan kerana kepentingan politik tertentu? Jika benar, rakyat berhak mempersoalkan tahap integriti kerajaan dalam soal ketelusan,” katanya.
Iqbal turut menyentuh peranan Rafizi Ramli ketika masih berada dalam Kabinet, dengan mempersoalkan mengapa desakan untuk mendedahkan laporan itu tidak dibuat lebih awal sekiranya perkara tersebut dianggap penting.
“Kenapa ketika menjadi Menteri Kabinet, Rafizi tidak mendesak Perdana Menteri supaya laporan ini didedahkan sejak 2023? Mengapa hanya selepas berlaku perbezaan pendirian politik perkara ini dibangkitkan?” soalnya.
Beliau berkata, isu ketelusan tidak seharusnya dilihat berdasarkan kepentingan politik semata-mata.
“Benarlah sukar mencari manusia yang bercakap benar dalam semua keadaan. Jangan hanya bercakap benar apabila ia menguntungkan diri atau kumpulan tertentu,” katanya.
Dalam masa sama, Iqbal mempertahankan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang mendesak Perdana Menteri menamakan pihak yang didakwa terlibat dalam isu penyelewengan Tabung Haji.
“Saya tidak melihat Akmal Saleh melakukan kesalahan apabila meminta penjelasan dan mahu pihak yang terlibat dikenal pasti,” katanya.
Menurut beliau, mana-mana pihak yang didakwa melakukan kesalahan perlu diberikan ruang untuk mempertahankan diri melalui proses undang-undang bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Iqbal menyifatkan isu pendedahan laporan RCI Tabung Haji sebagai ujian terhadap prinsip ketelusan kerajaan dan menggesa supaya pendedahan dibuat atas dasar kepentingan rakyat, bukan sebagai alat politik. – UMNO Online
