MB Johor Bidas PH, Pelantikan Timbalan MMK Tidak Langgar Undang-Undang

JOHOR BAHRU, 24 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membidas kritikan serta serangan politik beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor, sambil menegaskan dakwaan yang dibangkitkan tidak mengambil kira kedudukan sebenar dari sudut pentadbiran dan perundangan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menghormati hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pandangan, namun isu berkenaan perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan prinsip pentadbiran, keperluan semasa serta kedudukan undang-undang.

Menurut beliau, berdasarkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, pelantikan 10 Timbalan MMK dibuat dalam ruang kuasa pentadbiran kerajaan negeri dan adalah penting untuk difahami bahawa jawatan berkenaan bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Timbalan MMK tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak EXCO, tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.

“Semua kuasa membuat keputusan kekal sepenuhnya di bawah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagaimana diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Onn Hafiz berkata, pelantikan itu tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu, tidak memindahkan kuasa Ahli MMK dan tidak mengubah struktur pentadbiran kerajaan negeri seperti didakwa.

Sebaliknya, katanya, pelantikan berkenaan hanyalah satu mekanisme pentadbiran bagi memperkukuhkan pelaksanaan dasar serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa pelantikan tersebut bertujuan menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan.

“Pelantikan ini diwujudkan bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan,” katanya.

Menurut beliau, Johor kini sedang memacu pelbagai agenda strategik termasuk Johor Economic Transformation Plan (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link serta pelbagai projek berimpak tinggi menjelang 2030 yang memerlukan kapasiti pentadbiran lebih kukuh.

Pada masa sama, beliau menegaskan pelantikan itu hanya melibatkan implikasi kewangan minimum dengan menggunakan aset serta kemudahan sedia ada kerajaan negeri, selain tidak mewujudkan portfolio baharu atau pertambahan struktur pentadbiran yang membebankan kewangan negeri.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri kekal komited mentadbir secara telus, berhemah dan bertanggungjawab, dengan setiap keputusan dibuat berlandaskan kepentingan rakyat serta usaha memperkukuhkan keupayaan pentadbiran Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO