“Tak Habis-habis Melayu Sakau, Kempen PH Masih Meracau”

SEREMBAN, 23 Julai – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menyifatkan kempen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang sekali lagi mengulang naratif “Melayu Sakau” sebagai menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih bergantung kepada isu-isu lama berbanding menawarkan penyelesaian terhadap cabaran rakyat hari ini.

Menurut beliau, ucapan Perdana Menteri yang berulang kali mengaitkan isu 1MDB, Tabung Haji (TH) dan FELDA dengan era pentadbiran Barisan Nasional (BN) hanyalah mengulangi pendekatan yang sama seperti ketika kempen PRN Johor sebelum ini.

“Jika benar dakwaan bahawa berlaku penyelewengan dalam Tabung Haji atau FELDA, kerajaan sewajarnya mendedahkan siapa yang terlibat dan membawa mereka ke muka pengadilan. Rakyat berhak mengetahui kebenaran, bukannya terus disajikan dengan tuduhan yang berulang setiap kali musim pilihan raya,” katanya.

Beliau turut membandingkan kedudukan hutang negara ketika pentadbiran BN pada 2018 yang berjumlah sekitar RM600 bilion dengan jumlah hutang negara ketika ini
yang didakwa telah mencecah kira-kira RM1.3 trilion.

Katanya, peningkatan hutang negara itu berlaku dalam tempoh lapan tahun selepas BN tidak lagi mentadbir kerajaan Persekutuan, sedangkan pelbagai janji dalam manifesto PH sebelum ini seperti pemansuhan tol, penghapusan pinjaman PTPTN serta usaha menurunkan kos sara hidup masih belum dapat direalisasikan.

Dalam masa yang sama, Gulam turut menyentuh dasar subsidi haji ketika era BN yang menurutnya memberikan bantuan kepada semua bakal jemaah tanpa mengira kategori pendapatan, berbeza dengan pendekatan bersasar yang dilaksanakan kerajaan hari ini.

Beliau juga mengulas mengenai pendedahan yang pernah dibuat oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung dakwaan melibatkan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, selain membangkitkan isu kehilangan dana pesara melibatkan KWAP yang menurutnya wajar diberikan perhatian sama seriusnya.

“Dalam era BN, naratif yang sering dimainkan ialah ‘Melayu sakau’. Namun apabila timbul isu-isu semasa yang melibatkan kerajaan hari ini, pula digunakan istilah ‘scam’. Rakyat melihat bagaimana sesuatu isu diberikan layanan yang berbeza mengikut siapa yang terlibat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sentimen yang diterima daripada rakyat menunjukkan mereka sedang membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan semasa, khususnya berkaitan kos sara hidup dan ekonomi.

“Rakyat sedang memerhati. Mereka akan membuat penilaian sendiri apabila tiba masanya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti. Insya-Allah, gelombang sokongan kepada Barisan Nasional akan terus diperkukuhkan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO