Najib Santuni Jentera BN Pasca PRN Johor
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Komitmen dan pengorbanan jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu wajar terus dihargai kerana mereka menjadi tulang belakang kepada kejayaan Barisan Nasional (BN), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri.
Beliau berkata, segala penat lelah, pengorbanan masa serta keringat yang dicurahkan oleh setiap petugas parti sepanjang tempoh berkempen tidak mungkin dapat dibalas, malah jasa mereka akan sentiasa dikenang.
“Komitmen jentera ini memang tidak boleh disangkal lagi. Penat lelah dan keringat mereka memang tidak mampu saya nak balas. Terima kasih semua atas kerja keras yang telah dicurahkan demi memastikan kemenangan BN di Parit Yaani,” katanya.
Menurut beliau, penghargaan terhadap jentera diteruskan apabila menghadiri dua majlis makan malam yang dianjurkan bagi meraikan petugas-petugas parti yang telah bekerja keras sepanjang kempen PRN Johor.
Najib berkata, majlis pertama berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Tongkang Pechah yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan manakala majlis kedua diadakan di PDM Selulun hasil jemputan Pak Naib Rahmat sebagai tanda penghargaan kepada seluruh jentera.
“Saya hadir sebagai tetamu jemputan. Orang dah jemput, kita kena makan. Terima kasih daun keladi, nanti jemput lagi,” katanya berseloroh.
Beliau turut mengakui setiap hidangan yang disediakan cukup istimewa, namun apa yang lebih bermakna ialah peluang bertemu dan merakamkan penghargaan kepada petugas parti yang telah berkorban masa, tenaga dan komitmen demi memastikan gerak kerja BN berjalan lancar.
Najib berkata, semangat setiakawan dan muafakat yang dizahirkan selepas pilihan raya membuktikan kekuatan sebenar UMNO dan BN bukan sahaja ketika berkempen, malah terus utuh dalam menghargai jasa setiap anggota parti.
Beliau berharap semangat kebersamaan itu akan terus diperkukuhkan sebagai bekalan menghadapi cabaran politik akan datang, sekali gus memastikan UMNO dan BN terus kekal dekat di hati rakyat melalui gerak kerja yang tersusun serta khidmat berterusan kepada masyarakat.- UMNO Online
