Jasa Bekas ADUN Pahang Terus Dihargai – Sharkar

KUANTAN, 23 Julai – Jasa serta sumbangan pemimpin terdahulu dalam memacu pembangunan Negeri Pahang wajar terus dihargai sebagai legasi yang menjadi asas kepada kemajuan negeri hari ini, kata Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Beliau berkata demikian ketika meneruskan Program Ziarah Kasih Speaker Dewan Negeri Pahang dengan menziarahi beberapa bekas Ahli Dewan Negeri Pahang sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan serta khidmat bakti mereka kepada rakyat dan pembangunan negeri sepanjang bergelar wakil rakyat.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar menzahirkan penghargaan kepada pemimpin terdahulu, malah menjadi platform memperkukuhkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam institusi Dewan Negeri Pahang.

Antara bekas Ahli Dewan Negeri yang diziarahi ialah bekas ADUN Triang dan Tanah Rata (1990–2018), Dato’ Leong Nga Nga; bekas ADUN Damak (1995–2018), Dato’ Lau Lee; serta bekas ADUN Ibam (2004–2013), Dato’ Mohd Sahfri Abd Aziz.

Mohd Sharkar berkata, setiap pemimpin terdahulu mempunyai peranan tersendiri dalam mencorakkan pembangunan Pahang, sama ada melalui usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuhkan infrastruktur mahupun memperjuangkan keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.

“Segala jasa dan pengorbanan mereka dalam membangunkan negeri serta berkhidmat kepada rakyat amat bernilai dan akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan Negeri Pahang,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar semua bekas Ahli Dewan Negeri Pahang sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta terus berada dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO