Beri Mandat Kepada BN, Hak Peneroka FELDA Negeri Sembilan Akan Dibela – Wan Rosdy
PALONG, 23 Julai – Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod yang terbukti dalam membela kebajikan warga FELDA, dan rakyat Negeri Sembilan perlu menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai medan untuk mengembalikan mandat kepada BN bagi memastikan hak peneroka terus dipelihara.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan kerajaan BN di Pahang dan Johor dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah peneroka membuktikan komitmen parti itu terhadap kebajikan masyarakat FELDA.

“Di Pahang ada 43,000 lebih peneroka di 115 rancangan. Kerajaan Negeri Pahang telah pun memberi suratan hak milik kepada hampir lebih daripada 43,000 hak milik kepada peneroka di Negeri Pahang. Baki ada 200 lebih lagi. Itu pun sebab masalah waris, masalah teknikal, dan sebagainya. Peneroka di Pahang sangat gembira kerana Kerajaan Negeri mendengar hasrat mereka.
“Begitu juga di Johor. Di Johor ada 27,000 lebih peneroka. Telah pun diberi suratan hak milik, telah pun diberi geran. Hanya tiga sahaja lagi yang belum diberi geran tanah, itu pun masalah waris,” katanya.
Naib Presiden UMNO itu berucap dalam ceramah isu semasa sempena PRN Negeri Sembilan di Felda Palong 4, di sini malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Azeez Rahim; Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; dan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Tambah Wan Rosdy lagi, pencapaian tersebut membuktikan kerajaan negeri yang diterajui UMNO dan BN sentiasa mendengar denyut nadi rakyat serta berusaha menyelesaikan isu yang telah sekian lama membelenggu peneroka.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut berkongsi kejayaan Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan Skim Tanah Tapak Rumah FELDA bagi memenuhi keperluan generasi kedua FELDA.
Menurutnya, sebanyak 16,000 lot tapak rumah telah diwujudkan dan diluluskan untuk diagihkan kepada anak-anak peneroka sebagai usaha memastikan mereka terus dapat membina kehidupan di kawasan FELDA.
“Kita ada 16,000 lot yang kita buat yang telah pun diluluskan, yang kita sedia beri kepada anak-anak FELDA. 16,000 lot tapak rumah yang telah kita buat di Pahang untuk berikan kepada generasi-generasi kedua FELDA. Begitu juga di Johor, saya pasti,” katanya.
Katanya, rekod pencapaian tersebut membuktikan UMNO dan BN bukan sekadar membuat janji, sebaliknya melaksanakan dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada warga FELDA serta masyarakat luar bandar. – UMNO ONLINE
