Ahmad Maslan Yakin PMX Tak Berani Pecat Menteri UMNO
PALONG, 23 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak akan berani memecat menteri-menteri daripada UMNO kerana parti itu merupakan antara tunjang utama yang memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri Kesepuluh (PMX) serta Kerajaan Perpaduan terus mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun terdapat gesaan supaya pemimpin UMNO yang mengkritik kerajaan melepaskan jawatan, hakikatnya Perdana Menteri memahami kepentingan 30 kerusi Parlimen yang dimiliki UMNO dalam memastikan kestabilan pentadbiran negara.

“Tok Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan) kata kalau Perdana Menteri minta saya letak jawatan, dia bersedia untuk meletak jawatan. Kemudian Datuk Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sebut apa? Timbalan Perdana Menteri sebut apa? Perdana Menteri tak payah suruh kami letak jawatan, pecat sahaja kami kalau tak suka pada kami.
“Mat Maslan (Datuk Seri Ahmad Maslan) kata apa? Mat Maslan kata, Perdana Menteri takkan berani untuk memecat kami. Perdana Menteri takkan berani untuk minta kami ini letak jawatan. Nak tahu kenapa? UMNO ada 30 kerusi (Parlimen),” katanya ketika berucap dalam ceramah isu semasa di Palong 4, di sini malam tadi.
Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Azeez Rahim; Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; dan Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin serta calon BN dan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong Datuk Mustapha Nagoor.
Ahmad berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa Perdana Menteri menasihatkan menteri, timbalan menteri dan pengerusi agensi daripada UMNO yang mengkritik Kerajaan Perpaduan agar meletakkan jawatan.
Tambah Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 30 kerusi Parlimen menarik diri, Kerajaan Perpaduan masih lagi berdiri tetapi jika melibatkan Sarawak, sudah pasti jumlah kerusi Kerajaan Perpaduan hanya tinggal 98 kerusi sahaja.
“Tetapi, kalau sahabat kita di Sarawak, adakah akan bersama dengan Pakatan Harapan (PH)? Saya yakin Sarawak tidak akan bersama dengan PH, kerana musuh utama politik di Sarawak ialah Dap.
“Selepas (Pilihan Raya Negeri) Johor, Negeri Sembilan, disusuli Melaka dan Sarawak. Kalau mereka juga ingin bergaduh dengan Sarawak, kalau PMX ingin bergaduh dengan Sarawak, ingin bergaduh dengan Timbalan Perdana Menteri Satu yang ada 30 kerusi, ingin bergaduh dengan Timbalan Perdana Menteri Dua yang ada 23 kerusi, 30 campur 23 bersamaan 53.
“Kerajaan sekarang ini 151 kerusi. Kalau bergaduh dengan Timbalan Perdana Menteri Dua, bergaduh dengan Timbalan Perdana Menteri Satu, 30 campur 23, 53 lari. 151 tolak 53 tinggal 98,” tegasnya.
Menurut Ahmad, UMNO tetap berpegang kepada komitmen yang dipersetujui untuk terus mendukung Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.
“Kami telah menandatangani perjanjian untuk menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal. Kami tidak akan memungkiri janji itu,” katanya.
Seterusnya, Ahmad turut mengimbau proses pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila negara berdepan situasi Parlimen tergantung selama beberapa hari.
Menurutnya, keputusan UMNO untuk menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat selepas Mesyuarat Khas MKT UMNO bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk.
“Parti PMX ada 82 kerusi, parti kita ada 30 kerusi. Apabila dicampurkan menjadi 112 kerusi, barulah cukup untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad berharap semua pihak, khususnya penasihat Perdana Menteri, mengambil maklum bahawa Kerajaan Perpaduan berdiri atas semangat kerjasama antara parti-parti yang membentuk kerajaan dan setiap rakan perlu dihormati demi menjamin kestabilan politik negara. – UMNO ONLINE
