Tiada Kompromi Terhadap Pelanggaran Undang-Undang, Johor Tegas Laksana Penguatkuasaan – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 22 Julai – Kerajaan Negeri Johor menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk melibatkan syarikat tempatan mahupun antarabangsa yang menjalankan operasi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, beliau menyokong penuh pendirian tegas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan penutupan operasi NSO Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City.

Menurut beliau, keputusan yang dibuat oleh MBIP bukanlah bersifat tergesa-gesa atau dipengaruhi sentimen tertentu, sebaliknya melalui proses penguatkuasaan serta penelitian yang lengkap mengikut lunas undang-undang.

“Keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan dijalankan, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan, penelitian terhadap dokumen berkaitan dibuat, selain mengambil kira representasi daripada pihak syarikat sebelum diputuskan dalam Mesyuarat Penuh MBIP mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan antara pelanggaran yang dikenal pasti termasuk operasi di premis tanpa lesen yang sah, penggunaan premis yang tidak selaras dengan kelulusan, penganjuran kelas dan latihan tanpa kelulusan berkaitan serta kegagalan mematuhi syarat pemasangan papan iklan.

Tegas beliau, apabila berlaku ketidakpatuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa, tindakan sewajarnya perlu diambil oleh pihak berkuasa.
Mohd Jafni turut menegaskan bahawa sebarang pengiktirafan yang diberikan oleh kementerian atau agensi di peringkat Persekutuan tidak boleh dianggap sebagai pengecualian daripada pematuhan undang-undang negeri mahupun peraturan pihak berkuasa tempatan.

“Status DE Rantau bukan lesen perniagaan, bukan kelulusan penggunaan bangunan dan bukan alasan untuk mengetepikan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelas beliau.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Johor sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur bagi merancakkan pembangunan ekonomi negeri, namun setiap pelaburan perlu mematuhi segala peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Johor mengalu-alukan pelaburan, tetapi bukan tempat untuk mana-mana pihak beroperasi sesuka hati. Semua pihak, sama ada syarikat tempatan atau antarabangsa, tertakluk kepada undang-undang yang sama,” katanya.

Beliau berkata MBIP akan meneruskan pelaksanaan keputusan yang telah diputuskan termasuk pembatalan lesen, arahan menghentikan operasi, penutupan premis serta tindakan pendakwaan sekiranya arahan yang dikeluarkan terus diingkari.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri Johor kekal berpendirian bahawa pelaburan sentiasa dialu-alukan, namun pematuhan kepada undang-undang adalah syarat yang tidak boleh dikompromi.

“Prinsipnya jelas, tiada sesiapa mengatasi undang-undang dan tiada mana-mana pihak akan diberikan layanan istimewa,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO