KEMAS Asas Kemajuan Negeri Sembilan, Pemangkin Pembinaan Generasi Masa Depan
LENGGENG, 22 Julai – KEMAS terus menjadi antara tonggak penting dalam membina modal insan dan memperkukuh pembangunan masyarakat luar bandar, sekali gus menjadi asas kepada kemajuan Negeri Sembilan melalui usaha berterusan melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kekuatan KEMAS bukan sekadar menyediakan pendidikan awal yang berkualiti, malah memainkan peranan besar dalam membentuk generasi seimbang dari aspek akademik, sahsiah serta penghayatan agama.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada warga KEMAS Negeri Sembilan pada Program Bersama Warga KEMAS di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat Kampung Pantai, Lenggeng, semalam yang menghimpunkan warga pendidik dan kakitangan KEMAS dari seluruh negeri.
Menurut beliau, Program Pra-Tahfiz KEMAS yang terus diperkasakan membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan anak-anak mendapat pendedahan awal terhadap al-Quran di samping menguasai ilmu pengetahuan sebagai persediaan menghadapi masa depan.
“KEMAS bukan sahaja mendidik anak-anak dengan ilmu dunia, malah membimbing mereka dengan asas agama yang menjadi bekalan sepanjang kehidupan. Inilah kekuatan sebenar KEMAS dalam melahirkan generasi yang mampu memimpin masa depan negeri dan negara,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh guru TABIKA KEMAS yang disifatkan sebagai barisan hadapan dalam mencorakkan pembentukan sahsiah dan kecintaan anak-anak terhadap al-Quran sejak usia muda.

Beliau berkata, setiap usaha dan pengorbanan warga pendidik KEMAS bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak yang dibimbing, malah menjadi amal jariah yang berpanjangan serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang berilmu dan berakhlak.
Dalam masa sama, beliau menegaskan dedikasi seluruh warga KEMAS perlu diteruskan kerana setiap usaha yang dilaksanakan hari ini menjadi asas penting kepada kemajuan Negeri Sembilan dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
“Teruskan menyemai bakti dengan penuh dedikasi kerana setiap usaha yang dilakukan hari ini bukan sahaja membentuk masa depan anak-anak, malah menjadi asas kepada kemajuan Negeri Sembilan serta kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya. – UMNO Online
