“Tiada Perenggan Mengatakan PRN Perlu Ikut Format Kerajaan Pusat” – Azalina
REMBAU, 21 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan tiada satu pun perenggan perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mengatakan setiap Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu mengikut format kerajaan pusat.
Ujarnya, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu adalah daripada titah Yang di-Pertuan Agong demi kesejahteraan rakyat.

“Saya sebenarnya melihat Kerajaan Perpaduan ini ialah kerajaan yang titah oleh Yang di-Pertuan Agong. Saya melihat bahawa kerajaan ini adalah dibentuk untuk kesejahteraan rakyat. Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada masa itu mahu parti-parti politik menepikan perbezaan dan bersetuju untuk bersama.
“Memang ada perjanjian bertulis. Selepas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuat kenyataan, saya pun mengkaji semula perjanjian itu.
“Saya tidak nampak apa-apa dalam perjanjian itu yang menghalang PRN. Tidak ada satu perenggan yang mengatakan PRN mesti mengikut format Kerajaan Pusat. Tak ada saya lihat,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, Barisan Nasional (BN) akan kekal kepada komitmen terhadap Kerajaan Perpaduan sehingga PRU ke-16.
“Jadi, kebebasan di peringkat negeri itu, saya membaca kebenaran secara tersirat. Perjanjian itu tidak menulis mengatakan tidak boleh (bersefahaman dengan parti lain) di peringkat negeri.
“Seperti kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, komitmen kita dengan Kerajaan Perpaduan itu sampai Pilihan Raya yang ke-16. Jadi, saya tak nampak sama ada persefahaman di negeri itu boleh ‘effect’ perjanjian tersebut, saya tidak tengok adanya kesan.
“Pada saya, negeri itu perlu kita lihat sebagai satu entiti yang berbeza. Kerajaan Negeri yang menentukan PRN mereka dan pembentukan kerajaan. Saya tengok BN akan sentiasa terbuka kepada format pembentukan kerajaan tertakluk kepada keputusan pilihan raya. Tak semestinya kita terikat dengan mana-mana pihak.
“Isu perbincangan mengenai pembentukan kerajaan itu kita lihat berdasarkan keputusan yang akan menentukan pembentukan Kerajaan Negeri. Jika diperlukan, kerjasama boleh dibentuk dengan mana-mana pihak. Kita kena lebih fleksibel dan tidak boleh terlalu rigid,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada PRN.
Menurut Perdana Menteri, mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara berkenaan akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
