Rekod Khidmat Terbaik… Mohd Asna Berpeluang Cerah Kekal Di DUN Lenggeng

SEREMBAN, 21 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) dan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berpeluang cerah untuk kekal di kerusi tersebut kerana telah memberikan khidmat yang terbaik pada penggal lalu.

Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop berkata, persiapan jentera di DUN Lenggeng cukup baik dan bersemangat untuk memenangkan calon sehingga hari pengundian.

“Pada malam ini (Isnin), kita ada program bersama jentera daripada Negeri Kedah untuk memperkenalkan mereka kepada pengerusi-pengerusi pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Lenggeng bagi menjalinkan kemesraan sebelum menjalankan tugas-tugas yang dikehendaki di peringkat PDM-PDM.

“Setakat ni, persiapan jentera di DUN Lenggeng cukup baik bermula daripada penamaan calon sehingga ke hari ini. Jentera bergerak dengan baik dan juga sempurna. Insya-Allah, jentera ini akan terus bergerak dari semasa ke semasa sehinggalah kepada garisan penamat iaitu hari terakhir kita berkempen.

“Datuk Mohd Asna adalah penyandang DUN Lenggeng penggal lalu dan beliau telah memberikan perkhidmatan yang cukup baik untuk penduduk DUN Lenggeng. Tambahan pula, beliau cukup popular di DUN Lenggeng ini. Atas sebab itu, saya menjangkakan beliau akan kekal sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di kawasan N09 Lenggeng ni,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas mengenai persefahaman yang dimeterai bersama Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau menjangkakan usaha ‘membirukan’ Parlimen Seremban akan dapat dicapai.

“Di Seremban ada enam DUN, maknanya secara tidak langsung kita memerlukan kemenangan di keenam-enam DUN ini untuk menyumbang kemenangan bagi menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan.

“Jadi, kolaborasi dan juga kerjasama di antara dua parti besar ini, saya jangkakan boleh memberikan kemenangan mutlak di Parlimen Seremban.

“Kepada para jentera di DUN Lenggeng, terutamanya daripada Negeri Kedah, saya mengharapkan bantuan dan juga tenaga kerja mereka untuk membantu jentera-jentera lokal di DUN Lenggeng ini agar kemenangan dengan majoriti yang meningkat daripada penggal yang lalu dapat dilaksanakan, dapat diperolehi oleh calon, Datuk Mohd Asna di DUN Lenggeng ini,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO